Putrajaya dijangka akan memperkenalkan satu garis panduan kod pemakaian patuh syariah kepada syarikat swasta pada hujung tahun ini.
Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa menjelaskan, garis panduan itu bagi menangani masalah diskriminasi ke atas pekerja swasta, termasuk dalam bidang perhotelan dan penerbangan.
Katanya, satu laporan akan disediakan ke atas perbincangan yang sedang mencapai fasa terakhir melibatkan Jabatan Kemajuan Islam dan Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia.
“Saya harap dalam laporan itu boleh kita kemukakan cadangan yang lebih patuh (kepada tuntutan menutup aurat),” katanya kepada pemberita hari ini.
Jelasnya, ia melibatkan isu pakaian seragam untuk pramugari Malaysia Airlines .
“Contohnya kalau di tempat swasta ada wanita yang memakai aurat, tutup aurat dengan cuba melaksanakan suruhan agama dia tetapi contohnya dipecat atau didiskriminasikan kerana pakaian dia.
“Maka kita pun ada satu jawatankuasa yang akan ambil berat kepada mereka yang didiskriminasikan dalam tempat kerja kerana pakaian mereka,” katanya.
Jelasnya, syarikat swasta bagaimanapun tidak terikat dengan garis panduan tersebut.
“Saya tak boleh kata mengikat kerana garis panduan itu tertakluk kepada syarat-syarat yang ditentukan kepada pihak swasta tapi sekurang-kurangnya kita sudah ada satu garis panduan.
“Isunya sekarang ialah untuk pihak swasta. Pihak kerajaan tidak timbul kerana mereka telah ada garis panduan dan mereka kena ikut garis panduan itu.
Isu berkenaan menjadi perhatian tahun lalu apabila kerajaan mendedahkan, 13 daripada 88 hotel di Semenanjung Malaysia melarang pekerja wanita bertudung.
Keluhan pramugari MAS dalam isu menutup aurat turut menjadi perhatian Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin pada 2016 yang berkata, pekerja berkenaan sepatutnya berhak berbuat demikian.– 6 Ogos, 2018.
Komen