KERAJAAN menjimatkan sebanyak 60% peruntukan pembangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas memuktamadkan cadangan rasionalisasi jabatan dan agensi di bawah kementerian itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata, peruntukan pembangunan JPM kini hanya berjumlah RM4.93 bilion berbanding peruntukan asal yang diluluskan sebanyak RM12.26 bilion.
Tambahnya, JPM juga mengurangkan RM100 juta selepas membatalkan beberapa kontrak sewaan dan perkhidmatan melibatkan pejabat penasihat, duta khas dan penutupan Majlis Profesor Negara (MPN).
Ia melibatkan pengurangan dua peratus daripada peruntukan mengurus bagi jangka masa dari bulan Jun hingga Disember 2018 yang diluluskan, berjumlah RM5.21 bilion, katanya.
“Bagaimanapun, penjimatan atau pengurangan peruntukan yang muktamad JPM bagi tahun ini hanya akan dapat ditentukan apabila proses rasionalisasi JPM yang sedang dilaksanakan pada masa ini selesai sepenuhnya,” katanya.
Liew menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang meminta perdana menteri menyatakan langkah penjimatan yang sedang dan akan dilaksanakan serta jumlah kos yang dikurangkan dalam menguruskan JPM.– 6 Ogos, 2018.
Komen