TIMBALAN Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah mempersoal keikhlasan syarikat perladangan berhubung sekatan yang didirikan Orang Asli di Gua Musang selepas terdapat dakwaan sekumpulan lelaki memusahkannya pada dua hari lalu.
Sivarasa berkata, beliau mendakwa syarikat berkenaan adalah dalang di sebalik serangan ke atas sekatan Kaleg itu kerana tiada pihak lain yang mempunyai motif untuk bertindak sedemikian.
Untuk beberapa bulan, aktivis Orang Asli yang berada di sekatan yang terletak dekat Pos Tohoi, Gua Musang menghalang pembalak dan peladang daripada memasuki tanah adat berkenaan.
Pada Sabtu, sekumpulan lelaki memusnahkan sekatan dan melalui kawasan itu. Kejadian itu dirakam oleh aktivis berkenaan.
Sivarasa berkata, serangan itu berlaku sehari selepas syarikat terbabit mengunjungi kementeriannya dan memohon bantuan bagi membenarkan pekerja mereka memasuki kawasan peladangan.
Menteri berkenaan berkata beliau sudah memanjangkan permohonan tersebut kepada Orang Asli yang berada di sekatan tersebut dan mereka bersedia untuk mempertimbangkannya.
“Saya terkejut dengan serangan ganas terhadap sekatan yang aman. Adalah bernasib baik kerana Orang Asli tidak menentang dan tiada kecederaan fizikal atau kehilangan nyawa berlaku.
“Saya amat terkejut dengan serangan secara tiba-tiba ini sedangkan dalam masa yang sama, saya telah menerima surat daripada dua syarikat memohon saya untuk membantu pekerja mereka untuk keluar masuk kawasan yang mereka usahakan bagi tujuan mengutip hasil perladangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Surat itu dihantar sehari selepas Sivarasa mengunjungi sekatan Kaleg dan Cawas di Gua Musang dan bertemu aktivis Orang Asli.
Ketulusan surat-surat ini yang dihantar oleh syarikat-syarikat perladangan Fleet Precision Sdn Bhd dan KPG Maju Enterprise Sdn Bhd jelas kini dipersoalkan melihat apa yang terjadi semalam.”
Orang Asli yang terlibat dalam kejadian itu sudah membuat laporan polis.
Tambah Sivarasa, beliau akan terus berhubung dengan semua pihak bagi mencari penyelesaian berhubung konflik melibatkan tuntutan Orang Asli ke atas tanah adat mereka dan syarikat yang menerima kelulusan kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan projek di situ.
Menteri berkenaan berkata pada 2 Ogos yang pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri Kelantan berhubung mengukur dan mewartakan tuntutan Orang Asli ke atas tanah adat di Gua Musang.– 6 Ogos, 2018.
Komen