SETIAUSAHA Agung Umno Annuar Musa berkata Barisan Nasional (BN) mungkin akan mengumumkan Kabinet bayangan mereka pada minggu ini.
Katanya, beliau bagaimanapun belum mendapat maklumat mengenai perkara itu daripada Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.
“Tunggulah dulu. Tunggulah pengumuman. Saya belum semak lagi bila Datuk Seri Zahid (presiden Umno) nak mula (umumkan). Tunggu sehari dua minggu ini,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Dalam sistem Parlimen Westminster yang diguna pakai di Malaysia, ketua pembangkang adalah perdana menteri dalam Kabinet bayangan pembangkang.
Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong pula enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Sebaliknya, ahli Parlimen Ayer Hitam itu meminta agar pertanyaan itu diajukan kepada pihak lain.
“Sebab (nanti) ada pemimpin cakap lain-lain versi.
“Tengoklah macam mana. I don’t want to say anything (Saya tak mahu cakap apa-apa). You tanya dengan orang yang cakap tulah (pengumuman). Nanti contradict (bercanggah),” katanya kepada The Malaysian Insight di lobi Parlimen hari ini.
Selepas hampir tiga bulan selepas PRU14, BN dikhabarkan bakal mempunyai Kabinet bayangan bagi memantau dan memeriksa keseimbangan terhadap kerajaan Pakatan Harapan.
Sebelum ini, dilaporkan Kabinet Bayangan itu akan memberi cadangan dan sumbangan kepada rakyat.
Dipercayai ahli Parlimen dari parti BN - Umno, MCA, MIC dan STAR - akan bertemu untuk memuktamadkan butir-butir seperti bidang tugas Kabinet bayangan. – 6 Ogos, 2018.
Komen