Cadangan Malanjun jadi ketua hakim bermotif politik, kata ahli Parlimen BN


Melati A. Jalil Diyana Ibrahim

Ahli Parlimen pembangkang mahu mengadakan mesyuarat meja bulat untuk mencadangkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak,Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara. – Gambar kahakiman.gov.my, 25 Julai, 2017.

CADANGAN wakil rakyat Sabah dan Sarawak mengadakan mesyuarat meja bulat mencadangkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara ditolak pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri itu yang disifatkan mempunyai motif politik.

Rata-rata yang ditemui The Malaysian Insight menganggap tindakan itu bermotifkan politik dan bukannya kerana kepentingan dua negeri itu semata-mata.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga merupakan ahli Parlimen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata pembangkang melihat isu pelantikan tersebut mempunyai kepentingan peribadi walhal hakikatnya ia tidak benar.

“Saya fikir kita terlalu melihat perkara ini sebagai keputusan yang mempunyai kepentingan peribadi di mana ia tidak betul.

“Ia sebenarnya tentang kalayakan individu tersebut memegang jawatan itu tapi ia bukan mempunyai kepentingan peribadi. Jauh sekali mengenai Sabah dan Sarawak,” katanya.

Malah beliau juga percaya pelantikan ketua hakim adalah keputusan paling tepat dan ia berdasarkan Perlembagaan.

Namun, beliau tidak menghalang jika ahli Parlimen pembangkang negeri terbabit ingin mengadakan perbincangan meja bulat atas dasar demokrasi.

“Saya tahu mereka menganggap saya ini orang Sarawak sebab itu mahu saya sokong calon dari Sarawak tapi ini bukan soal kepentingan peribadi atau isu lokal.”

Cadangan untuk mengadakan meja bulat dalam usaha menyokong Malanjum menjadi ketua hakim negara diumumkan Ahli Parlimen Kuching Chong Chien Jen dan Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong.

Mereka berdua mempersoalkan adakah kerajaan pusat dengan sengaja mengenepikan calon ketua hakim negara dari Borneo walaupun Malanjum disifatkan lebih layak dan berpengalaman.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Najib Razak memutuskan untuk menyambung tempoh perkhidmatan Md Raus Sharif sebagai ketua hakim negara dalam tempoh tiga tahun.

Keputusan itu dikritik hebat kerana pembangkang mendakwa ia antara langkah Najib menjamin kedudukannya yang kini terpalit dengan pelbagai skandal seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada masa sama, Wan Junaidi menafikan perbandingan tentang kelayakan pengalaman kerana tidak semua hal yang harus dinilai begitu.

“Jika berdasarkan siapa paling lama mesti saya sudah jadi perdana menteri, lama dah,” katanya.

Pendapat sama juga dikongsi Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Maximus Ongkili yang tidak bersetuju dengan cara dilakukan wakil rakyat pembangkang.

Akui ahli Parlimen Marudu daripada Bersatu Sabah yang tidak menolak inginkan hakim dari Sabah dan Sarawak diiktiraf tetapi tidak sepatutnya mereka campur tangan pilihan Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi saya, ini semua mainan politik. Kalau ikutkan, kita turut ada hantar pilihan tapi kita lakukan secara diam tanpa menghebahkan, (tindakan menghebahkan) memperlihatkan ia mempunyai niat politik.”

Manakala Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof menegaskan wakil rakyat pembangkang itu tidak boleh mencampuri urusan melantik ketua hakim negara kerana ia melibatkan soal pemisahan kuasa.

“Ia isu badan perundangan yang kita tidak patut campur tangan dan hormat keputusan itu.

“Saya anggap bila mereka mengadakan perbincangan meja bulat, ia (akan) dianggap sebagai tindakan mencerobohi kebebasan perundangan.” – 25 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen