AHLI Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar menegaskan, beliau tidak akan mengosongkan kerusi yang diwakilinya itu untuk memberi laluan kepada presiden parti, Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.
Nurul Izzah berkata kawasan parlimen itu seolah-olah cinta hatinya dan beliau kini menumpukan usaha untuk menjalankan projek yang dirancang di kawasan tersebut.
“Saya rasa di Parlimen saya sebut pada penggal pertama dan kedua, saya ketemui cinta pertama saya – Lembah Pantai (kerusi Parlimen yang diwakilinya pada penggal ke-13).
“Jadi saya akan komited dengan cinta abadi saya – Permatang Pauh sehingga penggal saya berakhir,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ditanya lanjut, Nurul Izzah juga berkata isu berhubung berhubung jawatan timbalan presiden dan naib presiden juga sepatutnya diajukan kepada bapanya itu.
“Kenapa awak tak tanya dia saja? Dia sudah keluar dari penjara. Saya bukan wakil dia. Insya Allah saya akan kekal jawatan saya sebagai naib presiden,” katanya.
Anwar yang dipilih sebagai presiden PKR kini perlu memenangi kerusi Parlimen untuk membolehkannya kembali ke Dewan Rakyat dan dilantik sebagai perdana menteri.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh itu merupakan kerusi yang diwakili Anwar sejak tahun 1982.
Isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kini timbalan perdana menteri, mula mewakili kerusi itu pada 1999 selepas Anwar diheret ke penjara ekoran sabitan kes penyelewengan dan liwat.
Antara tahun 1998 dan 2018, Anwar menghabiskan hampir sedekad dalam penjara.
Apabila Anwar dibebaskan pada 2008, Wan Azizah mengosongkan kerusi itu untuk membolehkan suaminya kembali ke Dewan Rakyat.
Ia diambil alih semula oleh Dr Wan Azizah dalam pilihan raya kecil 2015 apabila Anwar kembali ke penjara.
Ia seterusnya ditandingi anak mereka, Nurul Izzah dalam pilihan raya 9 Mei. – 6 Ogos, 2018.
Komen