Polis akan tangkap saksi tak hadir siasatan Suhakam


Noel Achariam

POLIS hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas saksi penting yang gagal menghadiri siasatan awam Suhakam berkaitan kehilangan aktivis Amri Che Mat.

Wakil Jabatan Peguam Negara memaklumkan panel siasatan yang Saiful Afdzan, pemilik restoran Mak Lang di Perlis sepatutnya menghadiri pendengaran kes di Mahkamah Jalan Duta tetapi tidak hadir.

Wakil itu memberitahu anggota polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi akan melakukan tangkapan itu.

Bulan lepas, panel siasatan diberitahu yang Saiful enggan menghadiri pendengaran kerana bimbang perniagaannya rugi.

Panel juga dimaklumkan yang Saiful mendakwa melihat penculikan berlaku di seberang restorannya.

Pembantu keluarga Amri, Sheryll Stothard, mengatakan Saiful dipanggil oleh Suhakam tahun lalu untuk memberikan keterangannya.

“Siasatan itu diberitahu beliau tidak mahu datang kerana berkata akan mengalami kerugian,” katanya.

Pegawai-pegawai Suhakam memberitahu panel, Saiful berkata jika mereka sanggup membayar ganti rugi hariannya menutup kedainya maka beliau akan menghadiri sesi pendengaran itu.

Pegawai kemudian membuat laporan polis pada 22 Mac di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul terhadap Saiful kerana gagal menghadiri pendengaran itu.

Ketua Polis Sentul, R. Munusamy, berkata Saiful akan didakwa mengikut Seksyen 174 Kanun Keseksaan kerana tidak hadir dengan taat arahan seorang penjawat awam.

Amri didakwa disiasat kerana menyebarkan ajaran Syiah.

Beliau hilang pada 24 November 2016 dan dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dilihat mengepung keretanya di Kampung Padang Behor.

Suhakam sedang menjalankan siasatan awam mengenai kehilangan Amri, Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isteri Joshua, Ruth, untuk memastikan sama ada kes kehilangan mereka melibatkan pihak berkuasa. – 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen