TIMBALAN Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail menegaskan beliau tidak akan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan untuk ditandingi suaminya Anwar Ibrahim yang kini mengambil alih jawatan presiden PKR.
Wan Azizah berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar menjadi ahli Dewan Rakyat.
“Memang tak (akan kosongkan kerusi). Akan kekalkan ahli Parlimen, insya-Allah,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Ketika ditanya selanjutnya, Wan Azizah juga tidak menamakan kerusi yang akan ditandingi bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
“Itu terpulang,” katanya ringkas ketika disoal lanjut oleh pemberita.
Anwar perlu bertanding kerusi Parlimen dalam satu pilihan raya kecil sekiranya ingin dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat dalam penggal ini.
Ini bagi membolehkannya menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri apabila pemimpin berusia 93 tahun itu meletakkan jawatan pada 2020.
Kerusi Permatang Pauh yang diwakili Dr Wan Azizah semasa Anwar meringkuk di penjara kini diwakili anak mereka, Nurul Izzah.
Semalam, pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR 2018 menyaksikan Anwar buat kali pertama terpilih sebagai presiden.
Tiada calon lain tampil untuk mencabar Anwar apabila tempoh pencalonan tamat pada jam 5 petang. – 6 Ogos, 2018.
Komen