MASALAH yang dihadapi oleh peneroka Felda baru-baru ini bukanlah kerana perubahan dalam kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi ia berpunca daripada pengurusan tertinggi agensi itu, kata kumpulan kebajikan skim itu.
Antara masalah itu termasuklah kelewatan bayaran elaun bulanan dan hasil tanaman, yang didakwa bermula sejak tiga bulan lalu ketika Pakatan Harapan (PH) mula mengambil alih kerajaan.
Kumpulan yang mewakili peneroka Felda di 259 penempatan, iaitu Suara Generasi Kedua Felda (SGK2F), berkata masalah ini tidak sepatutnya timbul memandangkan tiada perubahan yang berlaku dalam dasar kerajaan ke atas Felda.
Menurut SGK2F, harga rendah sawit yang dibayar oleh kilang penapis Felda kepada peneroka juga adalah keputusan yang dibuat di peringkat agensi, bukannya kerajaan.
“Dasar tetap sama. Tiada perubahan,” kata penasihat SGK2F, Zulkefli Nordin.
“Dasar dan perjanjian antara Felda dan peneroka telah ditetapkan sebelum pilihan raya lagi.
“Alasan daripada pengurusan Felda bahawa peralihan antara kerajaan telah memberi kesan kepada kepada operasi tidak boleh diterima.
“Ini tidak ada kena mengena dengan kelewatan perlantikan pengerusi baru. Masalah ini semuanya berpunca daripada pengurusan atasan Felda sendiri.”
Peneroka-peneroka Felda di Pahang memberitahu The Malaysian Insight, sejak Mei, elaun bulanan yang mereka terima lewat seminggu.
Mereka juga mengadu yang harga buah tandan segar (FFB) yang ditetapkan oleh Felda ketika musim lawas adalah rendah berbanding harga pada tahun lepas.
Peneroka-peneroka ini mendakwa jika dahulu, bekas perdana menteri Najib Razak akan menaikkan harga ketika musim itu.
Apabila mereka ajukan hal ini kepada petugas agensi di penempatan, mereka diberitahu yang masalah itu disebabkan oleh peralihan kerajaan.
Sebahagian daripada masalah itu juga dikatakan berpunca daripada kelewatan pelantikan Pengerusi Felda baharu Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang hanya mula bertugas pada 17 Julai iaitu dua bulan selepas Shahrir Samad letak jawatan.

Masalah lama
Seorang peneroka di Lurah Bilut, Osman Ismail, berkata kelewatan pembayaran ini juga berlaku pada zaman Najib.
“Lambat bayar ni daripada dulu lagi sebelum pilihan raya. Bukan elaun sahaja tapi bayaran untuk hasil tuaian kita pun lambat.”
Elaun bulanan ini ialah daripada pinjaman yang diambil oleh peneroka tiga tahun lepas iaitu semasa penanaman semula pokok sawit.
Pinjaman ini menyediakan elaun bulanan antara RM900 hingga RM1,200 sementara menunggu Felda menyudahkan penanaman semula di tanah 10 ekar milik mereka. Proses penanaman semula ini kebiasaannya mengambil masa tiga tahun.
Kebanyakan peneroka ini biasanya membuat pinjaman pada kadar faedah 6.2% setahun kerana tidak mampu memperoleh pendapatan sepanjang proses penanaman semula, kata Osman.
Mereka, seperti juga Osman, sudah menuai hasil tanaman di tanah mereka memperoleh pendapatan dengan menjual buah tandan segar kepada Felda.
“Ini bukan masalah dengan kerajaan tapi dengan Felda sendiri. Hasil tuaian pun saya dapat lewat daripada sebelum pilihan raya lagi.”
Zukkefli dari SGK2F berkata alasan kelewatan bayaran elaun ini adalah disebabkan ketiadaan pengerusi Felda.
“Perjanjian pinjaman antara peneroka dan Felda sama seperti daripada sebelum pilihan raya lagi. Kelulusan sudah diberikan daripada dulu yang tinggal nak perlaksanaan.
“Takkan setiap pembayaran bulanan kena mintak tandatangan pengerusi?”
Harga bukan ditentukan kerajaan
Menurut Pengerusi SGK2F Mohamad Stap Osman, harga rendah yang diterima peneroka dari Felda adalah kerana kadar perahanan asas (KPA) dan kadar perahan di-gred (KPG) yang kilang penapis gunakan bagi tandan buah musim kali ini.
Kadar ini biasanya ditentukan mengikut peratus. Lagi tinggi peratus, maka lagi baik untuk peneroka.
“Tahun lepas biasanya kadar perahan antara 20% ke 22% satu tan. Tahun ni kadar turun kepada 18% satu tan, satu kadar yang rendah,” kata Osman.
“Perbezaan satu peratus pun boleh jadi beratus ringgit.”
Nilai titik peratusan berada pada antara RM28 dan RM32. Contohnya, seorang peneroka yang mendapat kadar 18% pada purata RM30 bagi satu mata akan memperoleh RM540 setan daripada buah sawitnya, kata Osman.
Bagi peneroka yang mendapat kadar 20% pada purata RM30 bagi satu mata akan mendapat RM600 setan.
Memandangkan seorang peneroka menuai hasil sebanyak dua kali sebulan, perbezaan pendapatan ialah RM1,080 bagi dua tan pada kadar 18%, berbanding RM1,200 bagi dua tan pada kadar 20%.
“Harga tidak ditentukan oleh kerajaan. Kita pun tak tahu kenapa kilang Felda menggunakan kadar perahan yang rendah tahun ini.” – 9 Ogos, 2018.
Komen