SEMASA krisis Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad memuncak pada tahun 1998, Amirudin Shari masih menuntut di sebuah pusat matrikulasi di Johor.
Sebagai seorang yang minat berpidato dan mula bergiat dalam gerakan pelajar di universiti, tindakan Anwar mencabar kepimpinan Dr Mahathir pada era reformasi memberikan kesan dan pengaruh yang besar kepada menteri besar Selangor itu.
“Terus terang saya katakan saya tidaklah begitu takjub dengan insan bernama Dr Mahathir sebelum PRU14.
“Antara (Dr) Mahathir dan Anwar di saat muda saya, sudah pasti saya lebih takjub dengan Anwar,” kata lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara baru-baru ini.
Namun pandangannya terhadap Dr Mahathir berubah selepas pemimpin 93 tahun itu mengetuai Pakatan Harapan (PH) mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.
“Dr Mahathir membuktikan dari masa ke masa, beliau merupakan seorang ahli politik yang praktikal yang mencapai peluang dengan cadangan dan gagasan yang praktikal.
“Selepas PRU14 saya boleh akuilah dia memang seorang political master (dalang politik) yang hebat, yang bukan saja boleh mempengaruhi orang tapi boleh melakukan sesuatu dengan berkesan.
Adun Sungai Tua itu berkata walaupun Anwar sangat mempengaruhinya semasa tahun-tahun awalnya mengenal politik, beliau berjumpa dengan pemimpin PKR itu semasa dibebaskan dari penjara pada 2004.
“Anwar juga political master yang hebat, boleh mempengaruhi orang mencipta gelombang, mungkin (dari segi) pelaksanaan dia memerlukan satu (langkah) yang kemas untuk mencapai tahap tersebut (mencapai tampuk kuasa),” katanya.
Menurut Amirudin, kembalinya Dr Mahathir ke puncak kuasa bersama PH bukti kecekapan politik perdana menteri itu namun beliau melihat kekuatan Anwar untuk menggerakkan perubahan sama pentingnya bagi kerajaan baru ini.
Beliau melihat kedua-dua pemimpin itu harus terus bekerjasama untuk mengukuhkan pentadbiran negara.
Amirudian, 38, yang baru dilantik sebagai menteri besar Jun lalu, menggantikan Mohamed Azmin Ali yang menyertai kabinet di Putrajaya, mengaku beliau tidak boleh hendak dibanding dengan bekas menteri besar itu.
Namun bapa kepada enam anak ini mahu membuktikan bahawa golongan muda mampu menggalas tugas dan tanggungjawab politik, kalau diberikan kepercayaan.
“Masing-masing ada kelemahan, kalau umur 93 tahun orang cakap tua, umur 38 orang cakap muda. Susah kalau kita dengar orang cakap.
“Bagi saya, setiap (kelemahan) itu pasti ada ruangan untuk diperbaiki,” katanya.
Beliau juga mengaku mendapatkan kekuatan daripada mentor dan tokoh yang disanjunginya dari pelbagai bidang. Antaranya, wartawan Fathi Aris Omar, aktivis politik Hishamuddin Rais dan Malek Hussein serta bekas pengarah Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar.
“Ada beberapa lagi ahli politik yang muda dan lama, (termasuk) Dr Syed Hussein Ali, kemudian saya jumpa Anwar selepas beliau keluar dari penjara, dan Azmin Ali bekas menteri besar.
“Ini semua satu tarikan magnet untuk terlibat dengan politik,” katanya lagi. – 6 Ogos, 2018.
Komen