Azmin tiada rancangan lawan Anwar


Nabihah Hamid

MOHAMED Azmin Ali tidak pernah merancang untuk bertanding jawatan presiden PKR, apalagi melawan tokoh yang dianggap pemimpin sebenar parti itu, Anwar Ibrahim, dalam pemilihan parti September ini, kata beberapa sumber dalaman parti.

Beliau sebaliknya hanya mahu mengukuhkan parti yang dibangunkan sejak 20 tahun lalu, dengan mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden, dan langkah politiknya itu adalah selepas perbincangan dengan Anwar, kata mereka.

Seorang sumber yang dekat dengan menteri hal ehwal ekonomi itu memberitahu, kalau betul Azmin hendak jadi presiden PKR, beliau sepatutnya sudah lama membuat langkah itu semasa Anwar ditahan dalam penjara.

“Kalau nak bertanding pun ini bukanlah masa terbaik… baik ketika Anwar di dalam (penjara) dia bertanding (jadi presiden). Itu masa terbaik sepatutnya tetapi dia tidak bertanding..

“Nak melaga-lagakan (parti) ini pun biasalah. Dia (Azmin) memang tiada langsung niat untuk bertanding presiden,” kata sumber rapat dengan Azmin yang enggan dinamakan kepada The Malaysian Insight.

“Sebelum ini apa yang timbul hanya spekulasi (Azmin akan lawan Anwar). Mereka (Anwar-Azmin) sudah berbincang antara satu sama lain,” kata seorang lagi sumber, yang maklum akan strategi itu.

Pada pertengahan Julai lepas, sebelum sidang Dewan Rakyat dibuka, Azmin menziarahi Anwar yang ketika itu sedang menjalani rawatan pemulihan selepas pembedahan di hospital di Istanbul.

Anwar menjalani pembedahan tulang belakang pada 8 Julai dan kemudian pembedahan bahu kanan beberapa hari berikutnya. Pada 15 Julai, semasa berada di Turki, Anwar mengumumkan tawarannya untuk jadi presiden PKR, melalui kenyataan media yang dikeluarkan sehari sebelum Dewan Rakyat bersidang memilih speaker.

Semalam, Azmin menyerahkan borang pencalonannya bertanding jawatan timbalan presiden di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya. Beliau yang berada di Singapura atas “urusan kerja” diwakilkan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Setiausaha Politiknya Hilman Idham, menghantar borang 15 minit sebelum tutup tempoh pencalonan.

Azmin Ali menyerahkan borang pencalonannya bertanding jawatan timbalan presiden di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya menerusi wakil Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Setiausaha Politiknya Hilman Idham.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2018.

Langkah Azmin itu menamatkan spekulasi beliau akan mencabar Anwar yang sudah lebih awal mengumumkan bertanding jawatan presiden, menggantikan Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isterinya. Anwar secara tidak rasmi menang tidak bertanding.

Azmin dicabar oleh Naib Presiden Rafizi Ramli, pertandingan yang disifatkan oleh pendukung bekas menteri besar Selangor itu sebagai “sengit”.

Sementara itu, pegawai khas Azmin di Pejabat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Khalid Jaafar berkata tindakan Azmin mempertahankan jawatannya dalam parti adalah untuk mengukuhkan perpaduan supaya Pakatan Harapan boleh fokus selepas jadi kerajaan.

Katanya, sebagai parti yang menerajui kerajaan, pimpinan PKR perlu memberi tumpuan memastikan janji-janji PH kepada rakyat dilunaskan.

“Dia (Azmin) mengutamakan perpaduan dalam parti dan Keadilan punyai tanggungjawab yang besar. Kita adalah parti yang sekali dalam PH dan PH telah diberi mandat rakyat untuk memerintah negara.

“Jadi kita tidak mahu ada kekalutan dalam parti kita. Ada pihak yang cuba melaga-lagakan tapi mereka yang membaca ucapan Azmin secara konsisten akan nampak mesejnya adalah perpaduan,” katanya, yang turut bertanding jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat.

Sementara itu, ahli di peringkat akar umbi melihat langkah Azmin mempertahankan jawatannya sebagai satu tindakan bijak yang akan memanjangkan hayat politiknya.

“Kalau Azmin lawan Anwar, orang akan rasakan dia tidak setia. Kalau dia lawan juga, anggota pasti akan cemuh dan kata dia tak hormati sifu dia.

“Kena ingat, Keadilan lahir kerana Anwar, dan kini biar Anwar ambil kembali Keadilan,” kata seorang ahli cabang Kelana Jaya yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad.

Ini adalah kali pertama Anwar akan memegang jawatan struktur dalam parti sepanjang 20 tahun PKR sejak penubuhannya pada 4 April 1999.

Dalam tempoh dua dekad itu, Anwar dipenjarakan dua kali dan memimpin parti sebagai ketua umum manakala Wan Azizah sebagai presiden.

Pemilihan PKR bulan depan adalah langkah politik Anwar yang pertama sejak dibebaskan dengan pengampunan diraja pada 16 Mei lepas, seminggu selepas PH menang pilihan raya umum ke-14 menumbangkan Barisan Nasional.

Anwar diatur sebagai pengganti Dr Mahathir Mohamad untuk jadi perdana menteri Malaysia ke-8. Beliau sebelum ini menolak jawatan dalam Kabinet Dr Mahathir. Beliau disebut-sebut akan akan bertanding untuk jadi ahli parlimen, seawal-awalnya sebelum akhir tahun ini.– 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen