SEBUAH persatuan penduduk di Pulau Pinang akan melakukan bantahan berhubung Pelan Induk Pengangkutan (PTMP) di Dewan Undangan Negeri (DUN), esok.
Namun, jumlah yang hadir dijangka tidak ramai kerana esok merupakan hari bekerja.
“Kami tidak tahu berapa ramai yang akan menyertainya. Mungkin 15 orang dari beberapa kawasan akan hadir.
“Kami akan membangkitkan kebimbangan kami mengenai PTMP dan projek Pan Island Link 1 (PIL1),” kata pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah Meenakshi Raman kepada pemberita pada forum berhubung projek mega itu, hari ini.
Dr Lim Mah Hui dari Penang Forum berkata persatuan penduduk itu dijangka akan menghantar wakil dari Sungai Ara, Farlim, Miami Green dan Jesselton.
Beliau berkata mereka akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan rungutan berhubung projek itu didengari, selepas 40 Adun dan 13 ahli Parlimen Pulau Pinang tidak menghadiri dialog tersebut.
“Kami menghantar jemputan kepada mereka pada Rabu. Tidak ada seorang pun yang datang, apatah lagi wakil rakyat pembangkang.
DUN Pulau Pinang hanya mempunyai tiga ahli pembangkang iaitu Adun Sungai Dua Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN), Adun Permatang Berangan Nor (BN) dan Adun Penaga Mohd Yusni Mat Piah (PAS).
“Backbencher kerajaan harus buka mulut. Tetapi bagaimana mereka mahu bangkitkan persoalan mengenai PTMP dan PIL1 jika mereka sendiri tidak faham isu?” soalnya.
Enam ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), lantikan politik dari PKR, Bersatu dan Amanah, menghadiri sesi dialog tersebut.
Wakil rakyat diberi taklimat berhubung PTMP, namun hanya daripada kerajaan dan rakan penyampaian projek.
PTMP adalah pelan pengangkutan awam integrasi komprehensif bagi mengatasi masalah trafik yang kian memburuk di Pulau Pinang. Ia antara lain mencadangkan pembinaan lebuh raya baharu dan kereta api aliran ringan (LRT).– 5 Ogos, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen