PERTANDINGAN untuk jawatan timbalan presiden PKR akan menyaksikan saingan satu lawan satu antara penyandang jawatan itu, Azmin Ali dan naib presiden waktu ini, Rafizi Ramli.
Pengarah pilihan raya PKR Selangor, Amirudin Shari memaklumkan keputusan tersebut dibuat setelah perbincangan pelbagai peringkat dari ketua umum hingga ke akar umbi.
“Demi menjamin keutuhan parti, Azmin telah membuat keputusan untuk mempertahankan kerusi timbalan presiden PKR,” kata Amirudin yang bertindak sebagai penyokong bagi pencalonan Azmin.
Menteri besar Selangor itu berkata, borang pencalonan Azmin dikemukakan oleh pegawai menteri hal ehwal ekonomi tersebut, Hilman Idham.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata kemenangan Anwar itu menunjukkan parti itu tidak berdepan sebarang krisis seperti didakwa pihak tertentu sebelum ini.
“Kebanyakan parti yang terpaksa bertembung pada peringkat presiden adalah parti yang berdepan krisis.
“Ini menunjukkan PKR sentiasa utuh apatah lagi mempunyai gandingan hebat dengan Datuk Seri Azmin Ali,” katanya lagi yang juga pengarah pilihan raya PKR Selangor.
Menteri hal ehwal ekonomi itu dicabar Rafizi Ramli yang membawa kempen bertema Reformasi 20 Tahun, bagi mengangkat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan.
Antara calon dalam pasukan Rafizi adalah dua ahli Parlimen, Nurul Izzah Anwar dan Johari Abdul yang akan bertanding jawatan naib presiden.
Calon yang sudahpun mengumumkan dalam pasukan “kartel” Azmin pula adalah exco negeri Pulau Pinang Afif Bahardin, yang bertanding jawatan ketua Pemuda PKR.
Afif dicabar ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dan Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi untuk jawatan itu.
Tempoh pencalonan untuk jawatan utama parti itu, termasuk timbalan presiden, ketua-ketua sayap dan ahli jawatankuasa pusat tamat pada jam 5 petang ini.
Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR bagaimanapun hanya akan mengesahkan nama calon yang bertanding pada Rabu. – 5 Ogos, 2018
Komen