ANWAR Ibrahim hari ini menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan parti PKR, sekali gus merapatkan lagi peluang untuk beliau menjadi perdana menteri.
Tiada pencabar lain mengemukakan borang pencalonan untuk mencabar Anwar apabila tempoh pencalonan tamat pada jam 5 petang ini.
Ini merupakan kali pertama Anwar memegang jawatan menerusi pemilihan dalam parti itu. Beliau akan menggantikan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyandang jawatan itu sebelum ini.
Anwar menghantar borang pencalonan pada jam 11.15 pagi hari ini.
Terdahulu, timbul spekulasi bahawa Anwar akan dicabar oleh anak didiknya, Azmin Ali namun ia terjawab apabila Azmin mempertahankan jawatan timbalan presiden parti.
Borang pencalonan Azmin bagi jawatan timbalan presiden dihantar oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan calon Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin pada jam 4.50 petang.
Azmin menentang naib presiden Rafizi Ramli dalam pertandingan satu lawan satu.
Sejak dua dekad lalu, Anwar menjadi ketua umum ssebagai penasihat parti dan menerajui parti itu bersama isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Antara 1998 dan 2018, Anwar menghabiskan hampir sedekad dalam penjara berikutan sabitan kes penyelewengan dan liwat.
Anwar dipenjarakan kerana penyalahgunaan kuasa dan liwat antara 1999-2004 (dibebaskan pada 2004) dan kemudian dipenjarakan sekali lagi atas sabitan liwat dari 2015-2018.
Bekas timbalan perdana menteri itu (1993-1998) diberi pengampunan diraja selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada Mei tahun ini dan dibebaskan pada 16 Mei.
Anwar dijangka akan menjadi pengganti kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai sebahagian daripada perjanjian Pakatan Harapan apabila pemimpin berusia 93 tahun itu meletakkan jawatan pada 2020.
Namun sebelum beliau kembali, Anwar masih perlu bertanding pilihan raya kecil untuk kerusi Parlimen.
Ini merupakan kali pertama pemimpin berusia 70 tahun itu bertanding bagi jawatan eksekutif sejak parti itu diasaskan pada 1998. – 4 Ogos, 2018
Komen