MB mahu tumpu pada Selangor, enggan tanding naib presiden


Nabihah Hamid

Amirudin Shari menolak desakan bertanding kerusi naib presiden PKR kerana mahu memberi fokus kepada negeri Selangor yang baru diterajuinya sebagai menteri besar sejak pertengahan Jun lalu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Ogos, 2018.  

AMIRUDIN Shari menolak desakan bertanding kerusi naib presiden PKR kerana mahu memberi fokus kepada negeri Selangor yang baru diterajuinya sebagai menteri besar sejak pertengahan Jun lalu. 

Adun Sungai Tua itu juga berkata, beliau memutuskan demikian bagai memberi laluan kepada kepimpinan yang lebih senior untuk merebut jawatan naib presiden. 

“Pertandingan itu saya jangkakan sudah ramai akan masuk. Saya menghormati beberapa senior seperti YB Zuraida Kamarudin, Shamsul Iskandar, Sivarasa dan lain-lain. 

“Berilah peluang pada mereka untuk bertanding sesuai dengan tahap umur mereka,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan borang penamaan calon petang ini.

Selain itu, beliau juga perlu memfokuskan kepada pentadbiran negeri dan juga dua pilihan raya kecil (PRK) akan datang, kata pengarah pilihan raya PKR Selangor itu.

“Saya akan memberi tumpuan yang lebih kepada negeri Selangor, apatah lagi saya dalam pentadbiran masih lagi baru dan banyak lagi fokus antaranya belanjawan dan dua lagi PRK yang akan saya hadapi,” katanya. 

Dua pilihan raya kecil itu melibatkan DUN Balakong dan Seri Setia susulan kematian penyandang kerusi masing-masing, baru-baru ini.

Jelasnya, pilihan raya kecil itu, termasuk untuk DUN Sungai Kandis yang berlangsung semalam merupakan cabaran besar buatnya dalam tempoh 100 hari memegang jawatan menteri besar.

“Itu satu cabaran kalau betul-betul dapat dilaksanakan dengan baik, ia merupakan satu peluang pada saya untuk membuktikan kepimpinan negeri sedia ada diterima rakyat,” katanya lagi. 

Amirudin menyerahkan borang penamaan calon di Pejabat PKR Petaling Jaya pada jam 4 petang.

Setiausaha jawatankuasa pemilihan, Ismail Yusop berkata, setakat jam 4, PKR menerima 68 borang penamaan untuk jawatan MPP.– 5 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen