MENTERI Kewangan Lim Guan Eng berkata bekas perdana menteri Najib Razak masih belum memberikan bukti bahawa Arul Kanda Kandasamy memperoleh gaji lebih RM10 juta sebelum menyertai 1Malaysia Development Bhd pada 2015.
Dalam kenyataan baru-baru ini, Najib mendakwa Arul Kanda menerima gaji sebesar itu semasa bekerja di sebuah bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Najib masih belum memberikan maklumat berkenaan gaji Arul. Beliau berkata Arul dibayar gaji lebih RM10 juta setahun.
“Tunjuk bukti bagi menjustifikasi gaji RM5 juta yang dibayar pada Arul untuk tempoh enam bulan (bekerja di 1MDB), dan bagi menunjukkan bahawa Arul sememangnya sanggup berkorban untuk bekerja di 1MDB,” kata Lim pada sidang media di Pulau Pinang, hari ini.
Minggu lepas, Lim berkata Arul menerima gaji sebanyak RM5 juta dari Januari hingga Jun. Beliau juga berkata tiada rekod yang menunjukkan Arul menerima gaji lebih RM10 juta setahun, sebelum ini.
Ahli Parlimen Bagan dari DAP itu menyoal jika Najib mereka-reka soal gaji itu bagi mempertahankan gaji yang diterima Arul semasa bekerja di 1MDB.
“Sehingga hari ini, hanya cakap sahaja. Tunjuklah bukti. Bukan sahaja 1MDB mencatatkan kerugian, ia juga menanggung hutang yang besar. Apa yang Arul rugi dan berkorban? Dia dibayar gaji yang tinggi,” katanya.
Lim berkata isu itu dibangkitkan oleh kerajaan bukan kerana ingin membalas dendam, sebaliknya bagi memastikan kebertanggungjawapan.
Tegasnya lagi, desakan itu juga bagi memaklumkan kepada rakyat Malaysia yang berjumlah 30 juta bagaimana negara berhutang RM50 bilion dan menanggung rugi akibat 1MDB.
Lim berkata hutang RM50 bilion hanya akan langsai pada 2039, sekali gus bermaksud “anak cucu kamu akan membayar hutang berkenaan”.
“Adakah menyiasat bermaksud membalas dendam? Ia bagi menunjukkan kebertanggungjawapan. Saya harap Najib jawab sebelum perbicaraan kesnya bermula,” katanya.
Najib, yang juga ahli Parlimen Pekan, berdepan tuduhan jenayah pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan pemindahan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.– 5 Ogos, 2018.
Komen