Calon PH Balakong masih belum disahkan, kata Guan Eng 


Looi Sue-Chern

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika bercakap pada sidang media yang diadakan di Pulau Pinang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2018

DAP masih belum mengadakan mesyuarat bagi menentukan calon untuk pilihan raya kecil Balakong kata Lim Guan Eng di tengah-tengah spekulasi yang menyatakan bekas wartawan penyiaran Astro Yunna Tan dijangka akan dicalonkan. 

Setiausaha agung DAP itu berkata parti itu masih belum menetapkan tarikh untuk bermesyuarat, namun yakin ia akan diadakan tidak lama lagi. 

“Terdapat banyak spekulasi dalam media mengenai calon. Keputusan akan dibuat selepas mesyuarat diadakan. 

“Tetapi kita masih belum mengadakan mesyuarat lagi. Pengumuman akan dibuat selepas itu,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini, dan enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

“Saya tidak mahu tambah apa-apa lagi mengenai perkara ini,” katanya. 

Sebelum ini, terdapat laporan Yunna Tan dijangka menjadi calon berpotensi untuk bertanding pada pilihan raya kecil Balakong di Selangor. 

Tan sebelum ini pernah mengacarakan program berbahasa Cina Evening Edition dan Prime Talk di saluran Astro AEC. Beliau meletakkan jawatan minggu lalu. 

Khabar angin mengenai pencalonan Tan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi kerana beliau bukan ahli parti itu. 

Kerusi Balakong kosong berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng dari DAP yang terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu. 

Hari penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 18 Ogos dan hari mengundi 8 September. – 4 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen