MARIAM, 13, bercita-cita mahu menjadi seorang duta supaya dia boleh melawat negara-negara lain dan bertemu ramai orang.
Itulah yang diputuskannya selepas bertemu Duta AS ke Malaysia, Kamala Lakhdhir, di “sekolah"nya di Alor Setar baru-baru ini.
Andainya impian Mariam ini jadi kenyataan, banyak yang ingin disuarakannya mengenai kanak-kanak sepertinya - pelarian muda dari Myanmar yang melarikan diri ke Malaysia bersama ibu bapanya.
Mariam mungkin bebas dari penindasan agama di sini, tetapi dia tidak mendapat pendidikan formal. Sekolahnya hanyalah sebuah kedai kecil yang disewa di Kompleks Perniagaan Gangsa.
Sejak 2012, kumpulan Katolik, New Thessalonian Apostolate (NTA), menubuhkan sekolah percuma bagi kanak-kanak pelarian dan mereka yang tidak diberi pendidikan formal.
Sekolah itu mempunyai kira-kira 100 murid, termasuk sekumpulan kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun yang diletakkan di kelas pra-sekolah.
Kanak-kanak yang sedikit berusia menghadiri kelas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan pendidikan Islam yang diajar oleh guru-guru sukarelawan. Antara guru-guru ini ialah pembantu pengajar Bahasa Inggeris Fullbright.
Kebanyakan kanak-kanak di sekolah ini adalah pelarian Rohingya, manakala yang lain berketurunan campuran bukan warga Malaysia.
“Saya suka ke sekolah,” kata Mariam, sambil menambah subjek kesukaannya ialah Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Dia yang fasih berbahasa Inggeris juga mengajar ibu dan bapanya Bahasa Malaysia di rumah supaya mereka boleh berkomunikasi dengan rakyat tempatan.
“Mak saya akan tanya saya macam mana nak sebut itu, ini dalam BM. Saya ajar mak macam mana nak cakap BM dengan betul,” kata anak sulung daripada lima beradik. Dua adiknya juga belajar di sekolah yang sama.
Mariam digambarkan sebagai seorang kanak-kanak yang “luar biasa” oleh pengasas bersama NTA dan guru besar, Marianne See Kameron.
Menurut Marianne, Mariam sentiasa menunjukkan keinginan yang besar untuk belajar dan pergi lebih jauh - andainya diberi peluang.
Masalahnya, Mariam terlalu tua untuk berada di sekolah ini, kerana tidak mempunyai kelas untuk peringkat menengah.
“Tapi dia tetap mahu datang ke kelas. Dia paksa maknya - yang dulu bercakap guna bahasa isyarat dengan saya - minta saya benarkan dia datang ke kelas, belajar dengan kanak-kanak yang lebih muda,” kata Marianne.
Jika semuanya berjalan lancar, kanak-kanak pelarian yang tua sedikit seperti Mariam tidak lama lagi akan mendapat sebuah sekolah menengah. NTA sekarang ini sedang menjalankan sebuah program perintis untuk pendidikan peringkat menengah menggunakan program berasaskan “home-school” atas talian oleh kedutaan Kanada.
“Kanak-kanak ini boleh dapat sijil yang melayakkan mereka masuk universiti, kami sedang usahakannya,” kata pengasas bersama NTA, Dr Dave Kameron. – 5 Ogos, 2018.
Komen