SARINGAN kesihatan mungkin akan dijadikan salah satu kriteria atau syarat kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk menjadi calon pilihan raya pada masa akan datang, kata seorang menteri kabinet.
Syarat kesihatan itu harus ditekankan sama mustahak seperti perisytiharan harta dan bersih daripada rasuah, kata sebuah badan pemantau pilihan raya.
Mereka bagaimanapun menegaskan cadangan ini bukan berbangkit susulan kematian dua wakil rakyat di Selangor akibat kanser dalam masa 100 hari selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, sebaliknya sudah dibincangkan umum sejak lama, sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara ini akan dibincangkan di peringkat Kabinet terlebih dahulu dan yakin Kabinet akan membuat satu rumusan yang terperinci mengenai kriteria menjadi calon pilihan raya.
“Tentunya saya rasa kita dapat berbincang di peringkat kabinet dan dapat merumuskan sesuatu yang dapat kita turunkan sebagai satu kriteria (calon pilihan raya),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tegas Dzulkefly, cadangan ini bukannya perkara baru dan ia telah disebut sebelum ini tetapi kerajaan belum sempat untuk melaksanakannya.
Cadangan yang sama pernah berbangkit sebelum PRU13 apabila sekurang-kurangnya 11 wakil rakyat meninggal dunia akibat sakit. Penggal selepas PRU12 itu juga menyaksikan pilihan raya kecil yang paling banyak dalam sejarah Malaysia pada suatu penggal.
“Menyebutkan perkara ini melatari dua kematian (baru-baru) ini adalah sangat tidak wajar.
“Tetapi untuk ke depan nanti saya yakin Kabinet akan bertanggungjawab untuk menurunkan beberapa kalau dalam bahasa medical, inclusion criteria, kriteria-kriteria, syarat-syarat antara lainnya syarat kesihatan untuk menjadi calon,” ujarnya.
Pakatan Harapan Selangor hilang tiga wakil rakyatnya dalam tempoh sebulan dan berdepan tiga pilihan raya kecil (PRK) dalam masa tidak sampai 100 hari sejak Pilihan Raya Umum ke-14.
PRK DUN Sungai Kandis semalam diadakan selepas kematian Shuhaimi Shafiei, 50, yang meninggal dunia pada 2 Julai lepas ketika menjalani rawatan kanser limfoma.
Pada 20 Julai, Adun Balakong dari DAP, Eddie Ng Tien Chee, 40, meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas jalan raya di Lebuhraya Grand Saga di Kuala Lumpur.
Pada 2 Ogos, Adun Seri Setia Shaharuddin Baharuddin yang exco kerajaan negeri Selangor meninggal dunia di Hospital Putrajaya akibat barah usus. Beliau dilaporkan mengidap kanser sejak dua tahun lalu.
Difahamkan Shaharuddin, yang juga exco kerajaan negeri Selangor, sudah menjalani pembedahan lama sebelum pilihan raya dan keadaannya pada masa itu sudah pulih. Kesihatannya dilaporkan mula merosot sejak sebulan lepas.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari yang sependapat dengan Dzulkefly meminta supaya parti-parti yang bertanding mengambil tanggungjawab untuk memastikan tahap kesihatan calon-calon mereka, selain daripada pengisytiharan aset.
Walaupun tiada sebarang peruntukan untuk setiap calon menjalani saringan kesihatan, menonjolkan calon-calon yang berkeupayaan untuk menjalankan tugas wajar dijadikan polisi setiap parti politik di negara ini, katanya.
“Menjadi wakil rakyat merupakan satu tugas yang sangat berat kerana memerlukan tumpuan masa dan tenaga yang banyak untuk memastikan hak rakyat terbela dan diberi perhatian yang wajar.
“Parti-parti perlu memastikan bahawa setiap calon itu fit untuk bertanding dan menjalankan tugas sekiranya menang nanti.
“Ini juga merupakan sebahagian daripada polisi ketelusan calon-calon piihan raya. Jika parti telus, maka akan bertambah keyakinan rakyat kepada parti itu, begitu juga sebaliknya,” katanya.
Shahrul juga menasihatkan semua parti politik untuk memandang serius perkara ini terutamanya yang melibatkan bakal calon yang mengidap penyakit terminal atau yang boleh membawa maut.
“Sebaik-baiknya mereka yang sudah dikenal pasti dengan penyakit “terminal illness” seperti kanser perlu diberi perhatian yang serius.
“Ini nasihat kepada parti politik kerana, walaupun ajal itu bukan dibawah kuasa kita, tetapi pada masa yang sama jika berlaku pilihan raya kecil, ia akan ambil kos daripada rakyat.
“Semua yang disebut tadi adalah dengan harapan agar kita dapat fokus pembinaan semula negara dan tidak disibukkan dengan proses PRK yang mengambil masa dan memakan kos,” ujarnya. – 5 Ogos, 2018.
Komen