KERAJAAN perlu mempertimbangkan meluaskan definisi pasangan dalam cadangan Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017, dengan memasukkan mereka yang tinggal bersama pasangan tanpa perkahwinan atau dikenali juga sebagai bersekedudukan.
Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud berkata konteks bersekedudukan perlu difikirkan kerana ada pasangan bukan Islam yang memilih untuk tinggal bersama tanpa berkahwin.
“Ada orang yang bukan suami isteri tetapi mempunyai hubungan intim, ikatan emosi antara mereka seperti suami isteri.
“Ini bukan bermakna kita mengiktiraf tetapi perkara ini berlaku,” katanya ketika memperdebatkan Rang Undang-Undang itu di Dewan Rakyat hari ini.
Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 dibentangkan untuk bacaan kedua.
Beliau berkata kes penderaan dalam konteks keganasan rumah tangga berbeza dengan kes melibat ugutan pihak luar atau memukul mangsa, kerana ikatan emosi yang wujud antara mangsa dan penderanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim selepas itu dalam sidang media berkata isu yang dibangkitkan termasuklah persoalan sama ada pasangan tidak berkahwin perlu ditakfrikan sebagai isi rumah akan di jawab dalam ucapan penggulungan beliau.
Katanya lagi, lima isu utama dalam pindaan undang-undang itu termasuklah prosedur Arahan Perlindungan Kecemasan (EPO) yang membenarkan pegawai kebajikan masyarakat memberikan perlindungan serta merta kepada mangsa tanpa perlu membuat laporan polis atau menerima arahan mahkamah, program rehabilitasi, penambahbaikan Arahan Perlindungan Interim (IPO) atau Arahan Perlindungan (PO) serta kediaman khas untuk mangsa.
Rohani berkata mengikut statistik polis, terdapat 15,617 kes keganasan rumah tangga dilaporkan daripada 2014 hingga Disember 2016.
Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menguruskan 3220 kes setiap tahun, merujuk kes itu untuk kaunseling atau campur tangan, katanya. – 24 Julai, 2017.
Komen