SAMBUTAN Merdeka tahun ini lebih bermakna kerana rakyat menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau menyifatkan kejayaan menentang kleptokrasi sebagai “luar biasa” kerana rakyat sangat berani untuk menyelamatkan diri mereka walaupun berdepan ancaman.
Keputusan itu merupakan kemenangan yang tidak dijangka, yang dicapai negara tanpa pertumpahan darah mahupun kekacauan.
Kerana ini, kata perdana menteri, rakyat Malaysia perlu raikan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana sahaja.
“Kibarkan bendera kebangsaan kita di kereta, di rumah kamu, di pejabat, di jalan raya, malah di laut,” kata Dr Mahathir pada pelancaran Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang 2018 di Pulau Pinang malam ini.
Pelancaran itu disaksikan kira-kira 30,000 hadirin dan disiarkan secara langsung di RTM.
Lebih 30,000 orang hadir pada sambutan tiga hari yang diadakan di Padang Kota Lama yang bermula pada Jumaat dan berakhir esok.
Pengerusi PH itu turut mendedahkan Jalur Gemilang dan melepaskan konvoi 20 kenderaan dan 40 motosikal berkuasa tinggi, yang akan menjelajah ke seluruh negara bagi mempromosikan Hari Merdeka dan Hari Malaysia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, hari ini merupakan hari bersejarah kerana selepas sekian lama, salah satu acara kebangsaan bagi 2018 diadakan di Pulau Pinang.
“Pulau Pinang sudah lama menunggu peluang ini.
“Tambahan pula, hari ini merekodkan satu lagi sejarah kerana ini adalah kali pertama kita meraikan Hari Merdeka di bawah kepimpinan kerajaan baharu, Pakatan Harapan,” katanya.
Gobind berkata, kejayaan Malaysia adalah berdasarkan keamanan, kesejahteraan, solidariti, kesetiaan kepada Agong dan negeri, semangat toleransi dan semangat patriotik.
“Pendekatan kerajaan Pakatan Harapan adalah bagi memastikan semua rakyat terlibat dan ketelusan dan keterbukaan dalam kerajaan sebagai kepimpinan baharu akan menjadikan negara kita gemilang dan dihormati di peringkat antarabangsa.”
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Ko Yeow berkata beliau sangat berharap acara itu akan memberi inspirasi semangat patriotik dan menghormati kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersyukur dan berasa bertuah kerana menjadi negara yang bebas dan berdaulat serta kita hidup dalam harmoni, selamat dam makmur.
Chow juga berkata, sejak menjadi negeri pembangkang pada 2008, Pulau Pinang tidak pernah mengadakan acara besar sebegitu walaupun mempunyai segala kemudahan yang cukup.
“Dr Mahathir memili untuk melancarkan acara ini di sini adalah sangat bermakna bagi penduduk Pulau Pinang.
“Kita berharap kerajaan PH akan terus memberi sokongan kepada negeri ini dengan memberi peruntukan yang lebih,” katanya. – 4 Ogos, 2018
Komen