SABAH akan mula memusnahkan lebih 28,000 unggas, itik dan burung liar selepas wabak selesema burung disahkan di daerah Tuaran.
Wabak itu mula dikesan di Kampung Kauluan, Tamparuli, sebuah kawasan pedalaman di daerah Tuaran dengan populasi penduduk seramai 471 orang.
Setakat ini tiada kes membabitkan manusia direkodkan, kata Jabatan Kesihatan.
Kira-kira 17,000 ekor ternakan dari dua ladang dimusnahkan hari ini, menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Abas Harun.
“Kami percaya wabak itu dibawa oleh burung migrasi liar. Terdapat kira-kira sembilan buah ladang ternakan di kampung ini.
“Dua sampel yang telah diabil bagi mengenalpasti virus dan dihantar ke Institut Veterinar di Semenanjung Malaysia, dan satu sampel lagi ke Universiti Malaysia Sabah.
“Setakat ini kami masih lagi menunggu keputusannya,” katanya pada sidang media yang diadakan di Kota Kinabalu hari ini.
Bilik operasi sudah ditubuhkan di daerah itu sejak kerajaan mengumumkan penularan wabak berkenaan semalam.
Enam unit pemantau dan lapan pasukan kesihatan dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan ke atas unggas tempatan, burung dan itik dalam radius satu kilometer jangkitan.
Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tungau berkata, taklimat akan diadakan kepada pemimpin komuniti di daerah itu pada jam 2 petang esok.
“Kami mahu mereka faham dengan risiko yang dihadapi penduduk dan apa langkah yang wajar diambil bagi mengelakkan jangkitan pada manusia,” katanya. – 4 Ogos, 2018
Komen