PKR masih pilihan pengundi Sungai Kandis


Mohd Farhan Darwis Zaim Ibrahim Chan Kok Leong

Calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni meraikan kemenangan sebaik sahaja keputusan PRK DUN Sungai Kandis diumumkan malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Ogos, 2018.

PENGUNDI di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis tetap memilih untuk meneruskan kesinambungan PKR sebagai wakil rakyat mereka.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni memenangi pilihan raya kecil itu apabila memperolehi 15,427 undi, selepas keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pusat Mengundi Ahmad Zaharin Mohd Saad pada jam 9.25 malam. 

Calon Barisan Nasional (BN) Lokman Adam mendapat 9,585 undi manakala calon bebas K Murthy terpaksa berpuas hati dengan 97 undi.

Turut hadir ke pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Seksyen 19, Shah Alam, Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Sebanyak 51,217 atau 99.97 peratus pengundi biasa layak mengundi hari ini manakala 13 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Sementara itu Timbalan Pengerusi SPR Othman Mahmood berkata pilihan raya kali ini merupakan yang kedua terendah dalam jumlah keluar mengundi iaitu pada 49.89%. 

“Jumlah keluar mengundi yang paling rendah pernah direkodkan adalah pada pilihan raya kecil Penanti (Pulau Pinang) pada 2009 iaitu sebanyak 46%,” kata Othman. 

Pada pilihan raya umum 9 mei lalu, jumlah keluar mengundi di Sungai Kandis adalah 80%.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, calon PKR Mat Shuhaimi Shafiei memperolehi 23,998 undi, calon BN, Kamaruzzaman Johari memperolehi 11,518 undi, calon PAS Mohd Yusof Abdullah memperolehi 7,573 undi, dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin memperolehi 76 undi.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis selepas kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada pilihan raya kali ini, PAS mengambil keputusan untuk tidak bertanding dan memberikan laluan kepada BN. – 4 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen