KETUA PKR Sabah, Christina Liew tidak mengambil serius khabar angin yang mengatakan pertembungan di antara proksi Anwar Ibrahim-Mohamed Azmin Ali sedang bergolak di negeri ini ketika ahlinya sedang bersedia untuk menentukan kepimpinan parti bulan depan.
Beliau juga menolak dakwaan yang ahli cuba menjatuhkan satu sama lain untuk jawatan parti sebagai tanda berlakunya pergeseran dalaman.
“Ini pelik ... keluar dalam berita seolah-olah ada dua kem dalam PKR.
“Sekiranya parti mengadakan pemilihan dan individu mencabar satu sama lain untuk jawatan, apakah ini bermakna terdapat kem? Ini tidak adil,” kata Liew ketika ahli PKR Sabah menyerahkan kertas pencalonan mereka di Likas hari ini.
The Malaysian Insight diberitahu oleh orang dalam parti terdapat dua kem dalam PKR - satu kumpulan menyokong timbalan presiden Azmin dan satu lagi penyokong Ketua Umum Anwar untuk memimpin parti itu.
Sumber parti berkata, penyokong kuat Anwar adalah mereka yang setia dengan Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Kepimpinan sedia ada di Sabah menyokong Anwar sebagai presiden, dan mereka yang menyokong Azmin di negeri ini telah diketepikan.
“Ini dapat dilihat dalam kes bekas Adun Inanam, Roland Chia, yang digantikan oleh Kenny Chua, yang juga ketua PKR Penampang, sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14.
“Chia, yang juga ketua PKR Sepanggar, dikatakan adalah orang Azmin, dan berbalah dengan Liew sejak beberapa tahun lalu,” kata sumber itu. – 4 Ogos, 2018.
Komen