Kenderaan penerangan dihantar ke Sg Kandis galakkan pengundi tunai tanggungjawab 


Chan Kok Leong

Peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil Sungai Kandis masih berkurangan walaupun pusat mengundi akan ditutup tidak lama lagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Ogos, 2018

KEKURANGAN peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil Sungai Kandis memaksa kerajaan menghantar dua kenderaan penerangan untuk menggalakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka. 

Kira-kira jam 12 tengah hari, dia kenderaan pacuan empat roda Kementerian Penerangan dilihat beregar di sekitar Bandar Puteri Klang, Sri Andalas 1-3, Sungai Jati, Jalan Kota Raja dan Sekolah Rendah Agama Jalan Kebun memainkan mesej untuk menggalakkan pengundi keluar mengundi. 

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, jumlah peratusan keluar mengundi setakat jam 4 petang hanya kira-kira 40%.

Di Sungai Kandis, kira-kira 85.79% atau 43,585 daripada 50,800 mengundi dalam pertembungan empat penjuru pada pilihan raya 9 Mei lalu. 

Pada Mei, calon PKR Shuhaimi Shafiei memenangi 23,998 undi berbanding calon BN Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon PRM Hanafiah Husin (76). 

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian Shuhaimi pada 2 Julai lalu dan pertandingan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Zawawi Ahmad Mughni, calon BN Lokman Adam dan calon bebas K Murthy yang tidak pernah muncul sejak hari penamaan calon 21 Julai lalu. – 4 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen