NAIB Presiden PKR Rafizi Ramli mencabar Perdana Menteri Najib Razak untuk mendedahkan sumber pembiayaan insentif Felda berikutan pengumuman bantuan tunai kepada peneroka pada sambutan Hari Peneroka Felda di Putrajaya semalam.
“Empat insentif sehingga RM1.42 bilion sedangkan Putrajaya dan Felda tidak mempunyai wang sebanyak itu,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini, menanyakan di mana perdana menteri akan mencari wang untuk empat daripada enam inisiatif yang diumumkan .
“Najib harus menentukan di mana kerajaannya mendapat wang itu supaya peneroka Felda tidak menjadi mangsa kepada propaganda Barisan Nasional (BN).”
Empat insentif berkenaan ialah:
* Insentif tunai sebanyak RM475 juta di mana RM5,000 diberikan kepada setiap peneroka.
* Melupus hutang sebanyak RM128 juta untuk peneroka yang mengeluarkan pinjaman ekuiti FGV.
* Melupus hutang sebanyak RM519 juta atau sehingga RM5,000 bagi setiap peneroka yang mengambil bahagian dalam program Felda untuk penanaman semula kelapa sawit yang tidak produktif.
* Dana khas berjumlah RM300 juta bakal ditubuhkan bagi 2017 hingga 2021 untuk bantuan hutang operasi penanaman semula hutang operasi sebanyak RM40,000 atau lebih.
Dua insentif tidak disebut Rafizi adalah:
* Pinjaman perumahan tanpa faedah sehingga RM40,000 dan kelulusan untuk membina lebih daripada satu rumah bagi setiap tapak. Sekurang-kurangnya 70,500 tapak untuk rumah satu unit juga diketepikan Felda dan diluluskan kerajaan negeri dengan kos pembinaan unit yang ditanggung peneroka.
* Geran penanaman khas oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sehingga RM167 juta meliputi 24,280 hektar sehingga 2020.
Rafizi menjelaskan insentif serupa juga diberikan semasa PRU-13 dimana RM2.24 bilion dijanjikan, kebanyakannya daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau juga berkata, berdasarkan laporan audit 2014, Felda mempunyai hutang sebanyak RM10 bilion dengan pembayaran faedah sekurang-kurangnya RM400 juta setahun.
“Sebenarnya Felda tidak mempunyai wang sebanyak ini untuk diberi. Pada tahun ini, ia juga membeli saham di sebuah syarikat perladangan di Indonesia yang mesra kepada Najib, tetapi membayar dua kali ganda kadar harga sebanyak RM2.2 bilion,” katanya.
Tambah Rafizi, sumber kepada semua masalah Felda datang daripada kegagalan penyenaraian FGV di pasaran saham serta pelantikan kontraktor yang berat sebelah untuk penanaman semula.
“Sekiranya Najib tidak menyenaraikan FGV, masalah ini tidak akan berlaku. Sementara itu, jika proses (pelantikan kontraktor) diuruskan dengan baik oleh Felda tanpa harga tender tinggi kepada kontraktor yang dipilih, peneroka tidak akan dibebani dengan hutang ini,” katanya. - 24 Julai 2017.

Komen