Menteri jamin Proton masih lagi syarikat nasional


Diyana Ibrahim

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed hari ini beri jaminan Proton masih lagi sebuah syarikat nasional meskipun memutuskan untuk menjual 49% pegangan sahamnya kepada syarikat automotif terkemuka China, Geely.

“Proton tidak gadai maruah negara. Ia tidak hilang kemerdekaan. Kita harap kita dapat ‘move on’ dan melihat masa depannya. 

“Masa depan lebih cerah apabila perjanjian Proton dan Geely ditandatangani,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

Mustapa turut menjelaskan keputusan memilih untuk bekerjasama dengan Geely berdasarkan ‘track record’ syarikat itu.

Beliau berkata, antaranya ialah usaha pengambilalihan Volvo yang dilaksanakan syarikat itu pada 2010.

Tambahnya, Proton tidak lagi menerima keistimewaan daripada kerajaan sebaliknya syarikat itu turut menerima layanan sama rata seperti syarikat automotif lain di dalam negara.

Selain itu beliau berkata, vendor Proton juga menerima kelebihan melalui kerjasama yang membolehkan mereka menjadi pembekal bukan sahaja untuk Proton sebaliknya kepada rangkaian kenderaan yang dimiliki Geely sekiranya memenuhi syarat dan kualiti yang ditetapkan.

“Manfaat perkongsian strategik ini tidak akan terhad kepada warga Proton sahaja malah kepada semua yang terlibat dalam ekosistem industri automatif.

“Sebagai contoh, vendor tempatan akan berpeluang untuk mendapat kerjasama teknikal bagi meningkatkan daya saing dan penglibatan dalam rangkaian bekalan Geely dan pasaran eksport serantau,” katanya.

Proton kini mempunyai 240 vendor yang membekalkan komponen untuk pembinaan kereta mereka. – 24 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen