Saifuddin ingatkan ahli supaya lebih berdisiplin


Looi Sue-Chern

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga mengingatkan ahli supaya jangan melibatkan diri dengan 'kempen yang menimbulkan gangguan'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2018.

MENJELANG penaman calon bagi pemilihan PKR esok, Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan ahli supaya mengelak mengadakan kempen bersifat “pembunuhan karakter”.

Pemilihan parti kali ini akan menyaksikan persaingan sengit antara kem penyandang Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Rafizi Ramli.

Saifuddin yang juga merupakan setiausaha agung PKR hari ini memberi amaran kepada ahli supaya jangan melibatkan diri dengan “kempen yang menimbulkan gangguan”.

“PKR sangat terbuka dan demokratik. Ahli bebas memilih pemimpin mereka. Bagaimanapun, saya mahu ahli berdisiplin.

“Mereka bebas untuk menyokong dan memilih pemimpin yang mereka mahu, tetapi perlu mengekalkan disiplin dan tidak terlibat dengan kempen yang bersifat pembunuhan karakter, fitnah serta membuat tuduhan yang melampau.

“Calon-calon yang bertanding juga perlu beri perhatian (perkara ini),” beliau memberitahu pemberita di Pulau Pinang ketika diminta mengulas mengenai serangan yang dibuat oleh kedua-dua kem tersebut.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu juga mengingatkan mereka supaya tidak memandang rendah terhadap kebijaksanaan ahli PKR.

Tambahnya lagi, calon yang menggunakan jawatan untuk “membina empayar pollitik” akan ditolak.

“Itu bertentangan dengan PKR dan perjuagan reformasi parti. Ahli akan memilih pemimpin berdasarkan kepada komitmen mereka terhadap parti, sumbangan, idea dan kreativiti mereka.

“Ahli mahu pemimpin yang boleh menangani pandangan yang berbeza dan menghargai sumbangan akar umbi,” kata Saifuddin.

Kira-kira 900,000 ahli PKR di seluruh negara akan mengundi secara elektronik bagi memilih kepimpinan parti di mana setiap ahli dalam parti layak mengundi. – 4 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen