WAKIL rakyat Sabah dan Sarawak bersedia mengadakan mesyuarat meja bulat untuk mencadangkan hakim paling kanan Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara di Mahkamah Persekutuan.
Ahli Parlimen Kuching Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong pada sidang media hari ini mendesak supaya ahli Parlimen menyokong pelantikan Malanjum, tanpa mengira latar belakang dan perbezaan parti politik.
Chong berkata sejak pembentukan Malaysia, negara ini tidak pernah mempunyai ketua hakim negara dari Sabah atau Sarawak.
“Soalan yang kita semua perlu tanya ialah: adakah hakim dari negeri Borneo tidak cukup bagus, atau statusnya lebih rendah berbanding hakim dari Malaysia barat,” katanya yang juga pengerusi DAP Sarawak.
“Tidak bolehkan hakim dari negeri Borneo dilantik sebagai ketua hakim, terutama sekali mengambil kira senioritinya.”
Beliau berkata tidak ada larangan dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang mengatakan hakim dari negeri Borneo tidak boleh dilantik sebagai ketua hakim.
“Malah, dalam Perjanjian Malaysia 1963 memperuntukkan status saksama bidang kuasa dua mahkamah tinggi, di Sabah dan Sarawak serta di Malaya.
“Jadi mengapa Richard Malanjum dipintas dengan pelanjutan khidmat Md Raus Sharif yang tidak mengikut perlembagaan,” katanya, menambah Malanjum lebih senior berbanding Raus, yang sepatutnya bersara pada 3 Ogos tahun ini.
Beliau berkata Malanjum ialah ketua hakim Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak pada 2006 sementara Raus hanya dilantik ke Mahkamah Persekutuan pada 2009.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Najib Razak memutuskan untuk mengekalkan khidmat Raus sebagai ketua hakim bagi tempoh tiga tahun lagi. – 24 Julai, 2017.
Komen