UMNO akan membincangkan pembaharuan dan masa depan parti itu minggu depan, termasuk kerjasama dengan PAS atau parti-parti lain, dalam permukiman bersama pimpinan pelbagai peringkat dalam parti, kata timbalan presidennya Mohamad Hassan.
Permukiman itu akan disertai ketua-ketua bahagian, ahli Majlis Tertinggi serta exco tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, katanya.
Kerjasama dengan PAS dan parti-parti lain itu bagaimanapun bukan untuk membentuk gabungan parti baru sebaliknya hanya untuk membentuk blok pembangkang yang kuat dalam sistem dua parti.
“Kita tidak merancang untuk bergabung kerana sukar untuk berbuat demikian kerana latar belakang parti yang berbeza.
“Malaysia perlu menjurus kepada sistem dua parti bagi memudahkan rakyat membuat penilaian seterusnya mengelakkan kerajaan membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa semak dan imbang,” katanya ketika ditemui selepas acara forum di Kampung Sungai Kandis.
Forum bertajuk “Kenapa Perlu Umno?” yang dipengerusikan Tun Faisal Ismail itu turut menampilkan Ketua Penerangan Umno Shamsul Anuar Nasarah.
Mohamad berkata laluan yang diberikan Umno kepada PAS dalam pilihan raya kecil DUN Seri Setia nanti adalah langkah “merisik” sebelum kedua-dua parti melangkah untuk agenda bersama yang lebih besar.
Pilihan Raya Kecil DUN Seri Setia akan diadakan selepas wakil rakyatnya Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia kelmarin akibat kanser usus.
Sementara itu, Mohamad menjelaskan Umno akan terus mengukuhkan parti dengan melaksanakan pembaharuan dengan fokus untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
“Umno bukan hanya soal tentang presiden dan ahli majlis tertinggi, tetapi mengenai kaum Melayu dan Bumiputera.
“Orang masih sayang Umno tetapi dengan syarat pemimpin Umno bersih daripada segala skandal dan isu,” katanya.
Beliau berkata Umno akan diselaraskan dengan pemikiran Melayu abad ke-21 dan bukannya abad ke-20. – 4 Ogos, 2018.
Komen