BEBERAPA pemimpin kanan Umno Sabah dikatakan sedang menubuhkan parti sendiri untuk menjenamakan semula diri mereka selepas kekalahan yang memalukan pada pilihan raya lalu, kata sumber.
Mereka mahu menubuhkan parti baharu atau mengambil alih parti sedia ada di negeri itu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Umno di peringkat persekutuan, kata seorang sumber dalaman kepada The Malaysian Insight.
Sumber Umno berkata Adun daripada parti itu mahu bersama-sama dengan parti berasaskan negeri itu, bukannya parti nasional.
“Landskap politik di Sabah dan Sarawak sudah berubah.
“Mereka bosan dengan parti yang dikawal oleh ibu pejabat di semenanjung.
“Mereka mahu parti yang memperjuangkan hak negeri, Perjanjian Malaysia 1963 dan autonomi,” kata sumber itu.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa Anifah marah dengan bekas pentadbiran yang tidak melakukan apa-apa bagi memenuhi Perjanjian Malaysia 1963, tetapi sebaliknya menggunakannya untuk memancing undi pada PRU14.
“Ini juga mungkin kenapa Anifah tidak keluar dari Parlimen ketika hampir semua wakil rakyat Umno berbuat demikian,” kata sumber itu yang mengulas tentang tindakan wakil rakyat Umno dan PAS yang keluar Dewan Rakyat sebagai membantah pemilihan speaker pada hari pertama persidangan Parlimen.

Anifah setakat ini masih belum memberi respons kepada pesanan teks dan panggilan telefon daripada The Malaysian Insight.
Pada masa ini terdapat 10 Adun Umno di dewan undangan negeri. Parti Bersatu Sabah ada enam, Parti Bersatu Rakyat Sabah satu dan dua bekas Adun UPKO yang tidak menyertai kerajaan Warisan ketika parti mereka keluar Barisan Nasional.
Parti memerintah mempunyai 35 Adun. Parti Warisan Sabah ada 21 Adun, Upko empat, DAP enam dan PKR dua, termasuk dua Adun Umno yang melompat parti pada 10 Mei.
Sumber berkata antara mereka yang mungkin menyertai Anifah untuk membentuk parti baharu ialah Masidi Manjun dan ketua Umno Sabah yang baru dilantik, Hajiji Hj Noor.
Masidi yang lantang sebelum ini agak perlahan sejak akhir-akhir ini dan difahamkan beliau memberitahu rakan-rakan rapatnya yang beliau mahu keluar Umno.
Adun Umno dikatakan mahu keluar parti lebih awal dan membentuk Gabungan Bersatu Sabah dengan beberapa parti lain sebagai gabungan baharu untuk menggantikan BN di Sabah.
Ia susulan persetujuan antara Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Solidariti) Jeffrey Kitingan dan Musa yang juga pengerusi BN Sabah dan ketua penerangan Umno negeri pada masa itu.
Bagaimanapun, Musa kini menghilangkan diri.
Nama gabungan itu juga ditukar beberapa kali dan terakhir ialah Gabungan Bersatu.
Gabungan baharu itu akan termasuk Solidariti, Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan parti baharu yang akan dibentuk oleh bekas Adun Umno.
Sementara itu, sumber daripada Solidariti mengesahkan Jeffrey dan Anifah sudah memulakan rundingan dengan parti pemerintah di Sarawak untuk membentuk blok Borneo.
“Saya diberitahu bahawa seorang pemimpin daripada parti itu akan membuat kunjungan ke Sabah tidak lama lagi untuk memulakan blok Borneo. Ia akan menjadi langkah besar diambil oleh setiap parti,” kata sumber itu.
Solidariti atau PBS tidak mendedahkan siapa pemimpin dari Sarawak itu, tetapi dengarnya Jeffrey baru-baru ini ada mengadakan pertemuan dengan Presiden Parti Rakyat Sarawak James Masing. – 4 Ogos, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan