Sambutan Merdeka lebih murah tahun ini, kata menteri


Looi Sue-Chern

Peserta latihan mengibarkan Jalur Gemilang pada sesi latihan pelancaran bulan kemerdekaan dan kempen kibar Jalur Gemilang di Padang Kota Lama, Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2018

SAMBUTAN Merdeka dan Hari Malaysia tahun ini adalah “lebih murah” berbanding tahun lalu, kata Gobind Singh Deo. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata ini adalah bagi meneruskan keazaman Putrajaya untuk mengurangkan kos dan perbelanjaan.

“Jadi untuk tahun ini, perbelanjaan akan kurang,” katanya kepada pemberita ketika sesi latihan pelancaran Bulan Kemerdekaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang di Pulau Pinang malam ini.

Gobind bagaimanapun tidak mendedahkan angka perbelanjaan kali ini dan berkata, beliau perlu menyemak jumlah itu sekali lagi untuk memastikan kos sebenar. 

“Saya boleh berikan jumlahnya kemudian,” katanya.

“Saya rasa untuk lebih adil, kamu perlu faham yang kita telah menyambut ulang tahun ke 60 tahun lalu. Jadi kerana itu, terdapat tambahan kos. Ia merupakan sambutan di tahap yang lain.”

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan melancarkan bulan sambutan Merdeka esok di Padang Kota Lama di George Town.

Puluhan ribu orang dijangka hadir pada acara itu, yang mana ia merupakan acara besar pertama diadakan di Pulau Pinang sejak ia jatuh ke tangan pembangkang pada 2008.

Bertemakan “Sayangi Malaysiaku”, acara itu akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad. Aktiviti malam esok termasuk peersembahan bunga api, flash mob, persembahan busker dan konsert oleh artis tempatan.

Dr Mahathir juga akan melancarkan Konvoi Ekspedisi Jalur Gemilang melibatkan 18 buah kenderaan dan 40 motosikal berkuasa tinggi yang akan menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Acara berkenaan merupakan permulaan sambutan kemerdekaan dan kempen Jalur Gemilang di kesemua negeri sehingga acara akhir pada 31 Ogos di Putrajaya untuk Merdeka dan Hari Malaysia pada 16 September.

Ditanya mengapa Pulau Pinang dipilih, Gobind berkata ia merupakan keputusan Dr Mahathir.

“Ini merupakan acara yang penting, kerana ia merupakan sambutan Merdeka dan Hari Malaysia dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kami ingin memastikan semua orang dari pelbagai lapisan di negara ini termasuk dalam perayaan, jadi kami akan mulakan di utara di Pulau Pinang dengan pelancaran.

“Setiap negeri akan mempunyai peranan sehinggalah kita sampai ke Putrajaya dan Kota Kinabalu,” katanya.

Gobind juga berkata, Malaysia merupakan negara yang bertuah kerana mempunyai pelbagai bangsa dan budaya, dan negara akan menunjukan perpaduan dan saling menghormati.

“Ia menjadikan kita unik dan dunia melihat kita sebagai model. Saya juga rasa bertuah sebagai pengerusi organisasi, melihatkan kerjasama daripada semua pihak,” katanya yang turut berterima kasih kepada kerajaan negeri Pulau Pinang kerana bekerjasama dengan agensi persekutuan untuk acara itu.

Latihan malam ini tidak diadakan secara penuh naun tarian dan konsert serta gerai makanan yang ada menarik kehadiran ramai.

Gobind berkata ia merupakan petanda baik bahawa acara esok akan mendapat sambutan lebih baik.

“Kita harap cuaca akan baik seperti malam ini.” – 3 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen