Zahid: Laporan Al Jazeera mengenai buruh asing isu lapuk


Diyana Ibrahim Melati A. Jalil

Al-Jazeera cuba menggambarkan Malaysia mempunyai masalah dengan pekerja asing tidak sah, kata Zahid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2017.

MENTERI Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi hari ini membantah dokumentari Al-Jazeera mengenai industri buruh asing di negara ini, menyatakan pendedahan itu sudah lapuk.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, dokumentari itu cuba menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai masalah dengan pekerja asing tidak sah.

“Berdasarkan siasatan saya terhadap program Al-Jazeera, mereka melakukan rakaman program itu enam bulan lalu dan sekarang dengan sistem aplikasi dalam talian, isu-isu itu tidak lagi berlaku.

“Al-Jazeera bukan sahaja menyentuh perkara itu (buruh asing) tetapi mereka juga melihat isu sensitif lain di Malaysia. Itulah sebabnya mereka menghadapi masalah dengan negara lain,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu Dewan Rakyat hari ini.

Beliau ditanya ahli Parlimen Permatang Pauh dalam pendedahan program Al-Jazeera iaitu 101 East, bertajuk “Malaysia’s Migrant Money Trail”. Dokumentari ini menampilkan beberapa ejen yang mengakui mereka sering membayar pegawai Kementerian Dalam Negeri dan pegawai Jabatan Imigresen, ketika mereka membawa masuk pekerja asing ke negara ini.

Zahid juga menambah 1.5 juta pekerja Bangladesh yang dilaporkan datang ke Malaysia bukanlah jumlah keseluruhan.

“1.5 juta itu dirujuk kepada warga Bangladesh yang berdaftar dengan kerajaan mereka, yang mahu bekerja di luar negara dan bukan Malaysia. Bilangan pekerja asing dari Bangladesh bergantung kepada keperluan majikan,” katanya.

“Tiada satu syarikat pun dilantik untuk membawa masuk mana-mana pekerja Bangladesh kerana sistem dalam talian memerlukan majikan memohon pekerja asing terus tanpa ejen atau syarikat,” katanya. – 24 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen