SABAH hari ini mengisytiharkan wabak selesema burung di daerah pantai barat Tuaran, kira-kira 40km dari Kota Kinabalu.
Perkara ini disahkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Junz Wong.
“Mengikut hasil survalen yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) secara berterusan ke atas beberapa ladang, berdasarkan sampel yang diuji pada tarikh 31 Julai 2018 yang lalu telah mendapati sebuah ladang merekodkan hasil yang positif untuk penyakit selesema burung / Avian Influenza,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Pada 12 Julai, pihak berkuasa tempatan menafikan dakwaan menerusi mesej yang tular bahawa terdapat wabak selesema burung susulan banyak ayam yang mati di beberapa ladang ternakan.
Hasil pemeriksaan ke atas 939 sampel ayam oleh Jabatan Veterinar Sabah menunjukkan keputusan negatif.
“Sebagai langkah untuk membendung wabak ini dari merebak ke daerah-daerah lain dalam Negeri ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan melaksanakan pelupusan semua unggas yang terdapat sekitar 1 km radius dari lokasi penyakit dikesan.
“Jarak untuk pelupusan unggas ini akan diperluas sehingga 5km radius sekiranya hasil survalen mendapati sampel positif di luar kawasan 1km tersebut,” kata Wong.
Wong berkata Jabatan Veterinar Sabah akan memastikan tiada ayam dan itik dibawa keluar dari kawasan wabak.
Kementerian juga katanya merancang untuk mengadakan kempen kesedaran untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai wabak selesema burung.
Di samping itu, beliau memberi jaminan ayam dan telur yang berada di pasaran selamat untuk dimakan kerana telah melalui pemeriksaan yang ketat sebelum dipasarkan.
Wong turut menggesa para penternak ayam dan itik di Sabah memaklumkan kepada Pejabat Veterinar Sabah jika terdapat kematian ayam melebihi tiga peratus pada satu masa di kawasan masing-masing. – 3 Ogos, 2018.
Komen