Polis rampas 27 van Umno


Alfian Z.M. Tahir

POLIS hari ini merampas kesemua van “Skuad Sayang” Umno Johor kerana mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut sumber di ibu pejabat polis Bukit Aman,  27 buah van merah-putih yang digunakan oleh Wanita Umno Johor itu dirampas dan disimpan di ibu pejabat polis kontinjen Johor.

Sumber itu juga memberitahu The Malaysian Insight bahawa kesemua van dirampas di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). 

“Saya boleh sahkan bahawa kami telah merampas van-van berkenaan. Kami bertindak atas arahan mahkamah semalam,” sumber itu berkata.

Sementara itu, sumber memberitahu The Malaysian Insight, semua kenderaan terbabit akan dihantar semula ke Kuala Lumpur dalam tempoh satu atau dua hari lagi. 

“Kita simpan di sana hari ini. Kami akan bawa van berkenaan ke Kuala Lumpur dalam sehari dua lagi.”

“Dari sini kemudian kita siasat perkara itu,” tambah sumber.

Menurut laporan berita hari ini, pengerusi perhubungan Umno Johor Hasni Mohammad mengesahkan perkara itu selepas isu itu tersebar di media sosial malam tadi. 

“Kami (Umno Johor) diminta untuk menyerahkan van Skuad Sayang kepada polis bagi membanttu siasatan di bawah AMLA 2001”.

“Kami diberi notis rampasan semalam dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang mana kebanyakan van berkenaan akan diserahkan,” katanya memetik laporan Malay Mail. 

Hasni menjelaskan van itu biasanya digunakan leh ahli Wanita Umno Johor bagi program komuniti mereka. 

Hasni, yang juga ketua pembangkang negeri berkata, Umno Johor akan mematuhi semua arahan dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu. 

Katanya, parti itu menghormati undang-undang dan tiada sebarang isu dengan pihak berkuasa yang menjalankan tanggungjawab mereka. – 3 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen