Mahadzir gemar makanan laut, seorang yang 'happy go lucky', kata rakan 


Jason Santos

Rakan dan ahli keluarga Mahadzir berkumpul di perkarangan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk urusan membawa pulang jenazah.– Gambar The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2018

RAKAN rapat kepada Mahadzir Lokman pada mulanya menyangka berita kematian personaliti televisyen itu hanya palsu. 

Rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai Shima berkata, beliau masih terkejut dan tidak percaya dengan berita kematian itu.

“Saya antara yang awa tiba di hospital dan saya amat kecewa kerana berita kematian itu adalah benar,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. 

Menurutnya, Mahadzir ke Sabah atas urusan kerja dan beliau sepatutnya menjadi pengacara di satu majlis makan malam. 

Kira-kira 10 orang rakan terdekatnya termasuk bekas rakan sekolahnya turut dilihat berada di hospital, menunggu adik Mahadzir, Ida Lokman tiba bagi menuntut jenazah. 

Seorang lagi rakannya, Audra Webber menyifatkan Mahadzir sebagai seorang yang ‘happy go lucky’.

“Beliau merasakan Sabah ini rumah keduanya dan selalu datang melawat untuk bertanya khabar rakan-rakan di sini. 

“Beliau turut menggemari makanan laut tempatan,” katanya. 

Sementara itu, jabatan kesihatan negeri masih belum mengesahkan punca kematian personaliti terkenal itu. 

Difahamkan, pihak hospital masih menunggu keputusan daripada pihak keluarga sama ada membenarkan bedah siasat atau sebaliknya. 

Personaliti televisyen yang berasal dari Johor itu merupakan anak kedua daripada lima adik beradik sebelum ini pernah menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya pada 24 September, 2017. 

Beliau dilaporkan pernah koma selepas dua hari kembali dari Jakarta, Indonesia, menurut abangnya Danial Lokman. 

Mahadzir menghidap penyakit diabetis dan tekanan darah tinggi serta selalu mengalami sakit kepala, katanya. – 3 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen