PERDANA Menteri Najib Razak berkata wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara dilantik sebagai exco projek pembinaan laluan Transit Aliran Massa (MRT) bagi menjamin ketelusan dan urus tadbir yang baik.
“Ini memastikan projek itu mempunyai tahap ketelusan dan integriti yang baik sekali,” katanya ketika menjawab soalan lisan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) di Dewan Rakyat pagi ini.
Ketika menjawab soalan tambahan Ong Kian Meng (DAP-Serdang), Najib berkata kos pembinaan tambahan MRT merupakan kos yang munasabah dan tidak boleh dipertikaikan.
Terdahulu, Ong meminta perdana menteri mendedahkan perbelanjaan tambahan termasuk kos pengambilan dan pembelian tanah.
“Semua kos yang disebut itu merupakan kos munasabah yang dibiayai kerajaan. Ia kaedah telus dan tidak boleh dipertikaikan. Saya boleh minta MRT keluarkan maklumat tambahan,” katanya.
Najib sebelum ini berkata pembinaan MRT laluan Sungai Buloh - Kajang merupakan contoh terbaik atau kejayaan besar kerana ia bukan saja dapat disiapkan menepati jadual malah penjimatan sebanyak RM2 bilion.
MRT yang menelan belanja RM21 bilion dan memulakan pembinaan pada 8 Julai, 2011 dijangka memberi faedah kepada dua juta penduduk Lembah Klang. – 24 Julai, 2017.
Komen