Umno Kepala Batas sokong Najib


Looi Sue-Chern

Ahli Umno peringkat akar umbi di Kepala Batas, Pulau Pinang menyokong kepimpinan presiden Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Julai, 2017.

DI Kepala Batas, kawasan Parlimen yang memberikan Malaysia perdana menteri kelima, Abdullah Ahmad Badawi, ahli Umno di peringkat akar umbinya optimistik terhadap presiden parti, Perdana Menteri Najib Razak.

Sokongan tidak berbelah bahagi terhadap presiden mereka, tidak ada satu pun kontroversi yang menyelubungi Najib – termasuk skandal 1MDB, laporan tersebar di seluruh dunia – memberi makna apa-apa pada mereka.

Ahi wanita Umno Kepala Batas Zainab Said dari cawangan Padang Tembusu berkata ahli akar umbi berada di belakang presiden demi kepentingan parti.

“Kami perlu sokong kepimpinan parti, tidak kira siapa dia. Bukan individu yang penting, tetapi parti.

“Sama juga keadannya ketika Dr Mahathir Mohamad jadi presiden parti,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas semalam.

Dr Mahathir, yang menerajui Umno selama lebih 20 tahun kini pengerusi Pakatan Harapan (PH). Beliau kini mengetuai gabungan pembangkang untuk menyingkirkan Barisan Nasional dari Putrajaya.

Zainab berkata dia kasihan pada Najib yang dimalukan di media sosial setiap hari, walaupun tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar.

Golongan akar umbi tidak terpedaya dengan naratif gabungan pembangkang PH, yang menuduh Najib menerima berbilion ringgit didakwa diselewengkan daripada syarikat pelaburan negara 1MDB.

Ahli Umno dari Penaga yang mahu dikenali sebagai Mohamad berpendapat Najib ok dan percaya perdana menteri tidak melakukan kesalahan jenayah yang dituduh pembangkang.

“Masih tidak ada bukti kukuh menunjukkan dia buat semua itu. Tetapi reputasinya terjejas kerana semua itu.

“Saya dengar ada ahli Umno rasa lebih baik Najib letak jawatan dan biar orang lain ambil alih. Tetapi jujurnya saya rasa di bawah Najib, kita berpeluang 50/50 untuk kekalkan kuasa kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Ahli cawangan Jalan Kedah Azizi Safar berkata akar umbi tidak kisah sangat dengan cakap-cakap mengenai 1MDB kerana mereka lebih risau isu kehidupan harian.

Ahli cawangan Kuala Muda yang ingin dikenali sebagai Tok Aki, 55, berkata rakyat bimbang dengan kenaikan kos sara hidup.

“Rakyat merungut mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan harga minyak yang naik turun setiap minggu. Sebenarnya, rakyat cuma hendak penyelesaian.

“Pemimpin dan ahli politik mengkritik satu sama lain itu perkara biasa dalam politik. Mustahil juga untuk ketua sentiasa betul. Semua orang ada kelemahan,” katanya.

Bagaimanapun, dia percaya Najib tanpa mengira apa juga bebanan dibawa, perlu diberi peluang mengetuai PRU14 akan datang.

“Nampaknya dia buat kerja dia. Saya rasa dia perlu dibenarkan untuk meneruskannya,” katanya.

Hilmi Rashid dari cawangan Permatang Manggis berkata Najib bekerja keras menangani masalah kos sara hidup untuk rakyat.

“Dia buat kerjanya dengan baik, sebab itu dia dapat sokongan. Ada orang kata dia tidak fikir fasal rakyat, tetapi dia fikir sebenarnya. Dia melihat isu itu dari semua sudut,” katanya.

Hilmi berkata ekonomi Malaysia dalam keadaan baik di bawah kepimpinan Najib, dan negara ini masih diiktiraf sebagai hab kewangan Islam dunia.

“Rakyat tidak boleh kata ekonomi jatuh dan kemudian menyalahkan Najib dan 1MDB.

“Ya, kita mungkin kurang pendapatan daripada minyak, tetapi harga minyak dan komoditi tertakluk kepada permintaan global. Ia ada naik dan turun.”

Katanya, Najib juga dilihat meningkatkan infrastruktur dan menjaga kebajikan penjawat awam dan veteran askar.

“PH akan terus cakap yang buruk, malah mengarut. Umno perlu melawan tanggapan negatif dan kekeliruan yang berpunca daripada pembangkang. Tetapi kita ada cara untuk membalas mereka,” katanya. – 24 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen