BARISAN Nasional (BN) akan memberi laluan kepada PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia akan datang, kata Mohamad Hasan hari ini.
Timbalan presiden Umno itu berkata ia adalah tanda hormat terhadap parti Islam tu yang beliau harap akan membuka jalan untuk kerjasama selanjutnya pada masa akan datang.
“Ini adalah sebagai tanda terima kasih kepada PAS yang memberi laluan kepada Umno di Sungai Kandis dan untuk meneroka kerjasama selanjutnya antara kedua-dua pihak,” kata Hasan kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata beliau membuat pengumuman semasa berkempen untuk calon Lokman Noor Adam bagi PRK Sungai Kandis.
“Saya baru saja mengumumkannya,” kata Hasan.
Semalam, Adun Seri Setia Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat kanser kolon.
Dalam pilihan raya umum lepas, Shaharuddin, yang juga naib presiden PKR, memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi, menewaskan calon Barisan Nasional, Yusoff M Haniff.
Yusoff berjaya mendapat 9,878 undi, diikuti calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dan Bebas, S Vigneswaran (217).
Walaupun PAS dan Umno berulang kali menafikan mereka bekerjasama tetapi beberapa peristiwa baru-baru ini mencadangkan sebaliknya. – 3 Ogos, 2018.
Komen