Selepas terabai selama ini, nasib Orang Asli kini makin terbela


Sheridan Mahavera

Masyarakat Orang Asli mendengar dialog antara wakil mereka dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah R Sivarasa di sekatan Chawas berhampiran Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Ogos, 2018.

JALAN masih panjang dan berliku sebelum mereka dapat mengalihkan sekatan yang dipasang dan mendapatkan pengiktirafan bagi tanah suku mereka.

Tetapi bagi Orang Asli di Gua Musang, kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) menjadikan laluan mereka lebih mudah.

Sebelum pilihan raya 9 Mei, tidak ada kerajaan sama ada di peringkat negeri atau persekutuan yang mahu mendengar rayuan mereka tentang syarikat pembalakan yang menggondolkan hutan mereka.

Mereka ditahan kerana menghalang pembalak dan syarikat perladangan daripada menceroboh tanah adat mereka.

Kerajaan persekutuan juga akan lepas tangan jika mereka mahu menuntut hak terhadap tanah adat mereka, dengan berkata: “Itu hal kerajaan negeri.”

Tetapi semua itu kelihatan hampir tamat semalam apabila kerajaan baharu PH berkata ia akan mendesak rundingan dengan Kelantan untuk mula mengiktiraf Orang Asli dan apa yang lebih penting ialah memberikan kuasa undang-undang terhadap tuntutan mereka.

Aktivis seperti Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah berasa gembira kerana penderitaan mereka akhirnya didengar.

Apa yang lebih menarik bagi Dendi ialah Putrajaya turut memberi peluang kepada pemimpin Orang Asli tempat ketika ia berunding dengan kerajaan negeri PAS.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Sivarasa Rasiah, yang melawat dua tapak sekatan di Gua Musang, Kelantan semalam juga menyokong langkah Orang Asli melindungi tanah mereka – pendirian yang jauh berbeza daripada Kelantan.

Sivarasa juga berkata beliau akan bertindak terhadap individu yang mengancam atau mengganggu para aktivis.

Tanah hutan Orang Asli seluas 400 hektar digondolkan untuk ditanam durian Musang King, di Gua Musang, Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Ogos, 2018.

Menurut Dendi, yang pernah dipenjarakan kerana mendirikan sekatan Kaleeg, tindakan ini tidak pernah dilakukan oleh pentadbiran Barisan Nasional.

“Kami sangat bernasib baik kerana mempunyai seorang menteri seperti ini,” kata Dendi merujuk kepada Sivarasa.

Dalam lawatan ke sekatan Orang Asli semalam, Sivarasa mengumumkan kementerian akan memulakan perbincangan dengan Kelantan berhubung tuntutan tanah komuniti itu.

Tuntutan ini menjadi punca konflik antara Orang Asli, pembalak, syarikat perladangan dan kerajaan Kelantan.

Penolakan kerajaan negeri untuk mengiktiraf tuntutan ini membenarkan pengusaha ladang untuk menceroboh tanah Orang Asli dan memusnahkan hutan komunal yang menjadi punca makanan dan air bersih mereka. – 3 Ogos, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen