SELEPAS bertahun-tahun memandang tinggi terhadap Dr Mahathir Mohamad kerana kebijaksanaannya, kepintaran dan wawasannya, ahli Umno di peringkat akar umbi kini kecewa dengan keputusannya bergabung dengan pembangkang.
Penyatuannya dengan musuh lama dalam politik – ketua umum PKR Anwar Ibrahim dan veteran DAP Lim Kit Siang – dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak daripada kuasa, begitu keterlaluan bagi mereka.
Rokiah Talib dari Umno cawangan Pengkalan Muda di Kepala Batas berkata dia kecewa dengan pemimpin yang pernah menjadi idolanya dulu.
“Ramai antara kami yang menyanjungnya. Kami saya dia. Selepas bertahun menyokongnya, kami sangat kecewa jadi begini.
“Sekarang pembangkang boleh ambil kesempatan terhadap situasi ini, ada dia di pihak mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas di Pulau Pinang.
Eliza Shaari dari cawangan Taman Sri Menerong berkata dia menangis ketika menonton berita di televisyen mengenai persaraan tiba-tiba Dr Mahathir yang diumumkannya pada perhimpunan agung Umno pada 2002.
“Bukan perwakilan di sana saja menangis. Perwakilan di depan TV di rumah pun menangis sama. Begitu sekali kami saya dia sebagai pemimpin.
“Dia pemimpin yang membawa Malaysia menjadi hebat ketika dia perdana menteri. Dia tangani krisis ekonomi yang melanda kita pada hujung 1980 dan 1990-an.
“Kini, bayangkan betapa kecewa kami rasa bila dia keluar Umno dan bekerjasama dengan pembangkang,” katanya.
Eliza berkata Dr Mahathir bukan saja memusnahkan nama baik Umno dan Malaysia tetapi namanya sendri.
Ahli akar umbi Umno yang menghormati Dr Mahathir kini ramai bersetuju beliau pengkhianat kepada parti yang pernah menjadikan beliau presiden dan perdana menteri.
“Betul dia khianat Umno. Dia melampaui batas dan menyertai pembangkang. Bagaimana tergamak dia buat begitu? Adakah kerana umurnya,” kata Hashim Yusoff dari Pinang Tunggal.
Katanya, ahli marah dengan Dr Mahathir yang membawa Anwar masuk Umno dan kemudian menyingkirnya daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 1998.
Hashim juga tidak suka cara Dr Mahathir menyerang Najib.
“Dia mentadbir 22 tahun sebagai perdana menteri, sekarang dia patutnya rehat saja dan jangan campur tangan.
“Tengok Pak Lah yang tidak terbabit dalam pentadbiran semasa. Orang hormat Pak Lah,” katanya merujuk kepada Abdullah Ahmad Badawi, pengganti Dr Mahathir, yang juga dari Kepala Batas dan dihormati di sana.
Bahari Ibrahim dari Umno cawangan Ekor Kucing berkata Dr Mahathir hanya menjadikan keadaan lebih teruk dengan tindakannya.
Beliau percaya walau apa pun masalah dalam Umno, Dr Mahathir perlu berbincang dan menyelesaikannya dengan parti.
“Isu tidak perlu diperbesarkan. Dr Mahathir tidak perlu sertai PH, terutama DAP.
“Untuk seorang bertaraf negarawan, apa yang dia buat itu salah. Dia patut kekal bersara,” katanya.
Ahli Umno cawangan Jalan Kedah Azizi Safar berkata sokongan ahli parti terhadap Dr Mahathir terhenti bila dia keluar Umno dan bekerjasama dengan musuh.
Katanya, segala rasa hormat dan sokongan terhadapnya hilang.
“Bila dia mula serang Najib ketika masih dalam Umno, ada ahli sokong dia. Tetapi bila dia keluar Umno, mereka yang bersimpati dengannya beralih sokongan kembali pada Najib.
“Mereka tidak boleh terima bila dia berkawan dengan PH. Ahli Umno ingat Dr Mahathir yang selama ini menanam di kepala mereka pelbagai perkara buruk tentang Lim dan Anwar.
“Dia yang beritahu ahli Umno, Anwar meliwat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Selepas Dr Mahathir memecat Anwar pada 1998, dia didakwa kesalahan meliwat. Dia kemudian dipenjarakan enam tahun sehinggalah sabitan bersalahnya dibatalkan dan dibebaskan pada September 2004. Anwar pada masa ini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat buat kali kedua.
Azizi berkata kini Dr Mahathir mendesak pembebasan Anwar dan menyokong pencalonannya sebagai perdana menteri PH.
“Mereka tidak ada agenda sebenar untuk rakyat. Semuanya hanya dendam politik,” katanya. – 24 Julai, 2017.
Komen