PUTRAJAYA akan memberi bantuan wang tunai, Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) sempena Hari Raya Haji bermula 15 Ogos.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bayaran berjumlah RM1.6 bilion akan melibatkan kira-kira 4.1 juta penerima di Malaysia.
Beliau juga berkata pembayaran dibuat oleh kerajaan persekutuan walaupun hutang negara berjumlah RM1 trilion yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.
“Perlu ditegaskan pembayaran sebanyak RM1.6 bilion dibuat dalam keadaan kewangan yang buruk di mana hutang kerajaan persekutuan mencapai RM1 trilion disebabkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan salah urus,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
BSH adalah penjenamaan semula Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dicetuskan oleh bekas perdana menteri Najib Razak.
Lim menambah pembayaran BSH akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dalam persediaan mereka untuk menyambut kedatangan Hari Raya yang jatuh pada 21 Ogos.
Setiausaha agung DAP itu berkata kerajaan Pakatan Harapan baru masih komited kepada manifesto pilihan raya mereka.
“Walaupun GST dimansuhkan, kerajaan masih tidak bankrap seperti yang didakwa oleh pentadbiran terdahulu. Malah kita boleh terus memberi BSH walaupun tanpa hasil GST,” kata Lim.
Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata kerajaan akan terus memberikan subsidi bahan api sehingga akhir tahun walaupun harga minyak meningkat daripada AS$52 kepada AS$74 setong.
BR1M dirangka di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), inisiatif Najib untuk menjadikan Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi.
Diperkenalkan pada Disember 2011, BR1M menyediakan wang perbelanjaan tambahan untuk isi rumah berpendapatan rendah.
Sejumlah RM26.2 bilion diagihkan sejak 2012, tahun program bermula.
Pada tahun pertama BR1M, sejumlah RM2.1 bilion dibebaskan kepada 4.2 juta penerima. – 3 Ogos, 2018.
Komen