MENTERI Besar Amirudin Shari berkata PKR Selangor tidak memandang mudah peluang untuk mengekalkan kerusi DUN Sungai Kandis walau menguasai kerusi tersebut selama tiga penggal berturut-turut.
Sebab itulah pemimpin tertinggi parti tetap turun berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini bagi memastikan peratusan keluar mengundi tetap tinggi pada kali ini, kata pengarah pilihan raya PKR negeri itu.
“Pada keadaan sekarang dapat saya lihat orang tidak merasa ada kepentingan untuk turun mengundi kerana baru lepas pilihan raya umum.
“(Tapi) kita kena kempen, ada masa 14 hari kena kempenlah. Kita kena ajak orang untuk turun mengundi dan kena beritahu jangan main-main.
“Sebab itu saya hampir menurunkan semua pimpinan tertinggi. Itu menunjukkan betapa seriusnya kita,” kata Adun Sungai Tua itu kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara.
Antara pemimpin tertinggi PKR yang turut berkempen adalah ketua umumnya Anwar Ibrahim, Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, selain Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Amirudin berkata sekiranya peratusan keluar mengundi itu turun, ia akan memberi kesan kepada corak pengundian termasuk risiko mengurangkan undi majoriti.
Katanya, undi majoriti sebayak lebih 12,000 undi yang diperolehi penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie itu ekoran peratusan keluar mengundi lebih 80%.
“Kali ini kalau turun sedikit ia juga akan memberi kesan,” katanya lagi yang berharap pengundi Sungai Kandis terus setia bersama Pakatan Harapan (PH) dan menilai khidmat bakti wakil rakyat terdahulu.”
Katanya trend sejak 10 tahun lalu menunjukkan pengundi di kawasan separa bandar mungkin agak setia, namun jumlah pengundi setia PH mungkin hanya 20% sahaja.
“Dalam negara kita ada pengundi yang setia, Barisan Nasional (BN) ada pengundi setia dia, PH ada pengundi setianya. Ia mungkin ada pada kadar 20% bagi setiap parti.
“Namun ada kadar pengundi atas pagar yang akan memberikan sokongan berdasarkan isu dan keadaan semasa,” katanya.
Ia merupakan PRK pertama yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berikutan kematian Shuhaimi akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.
Ia bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon BN Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy
Seramai 51,230 pengundi berdaftar di DUN Sungai Kandis bakal memilih wakil rakyat yang baharu pada 4 Ogos. – 3 Ogos, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan