PRESIDEN PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan rakaman audio yang tersebar mengecam Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad adalah suara suaminya, Anwar Ibrahim.
“Itu memang tak betul, kita memang dengar tu.
“Ya, Allah, siapa punya kerja ini? Itu bukan (suara) dia (Anwar). Saya tahu sangat, (itu) bukan suara suami saya,” katanya kepada pemberita di perkarangan Parlimen selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Sementara itu, Azmin ketika ditanya berhubung penyebaran rakaman itu berkata beliau tidak tahu menahu mengenainya dan tidak pernah mendengar rakaman itu.
Tiga rakaman audio berdurasi pendek itu memaparkan suara seorang individu mirip suara Anwar mengkritik Azmin.
Dalam rakaman pertama, individu terbabit berkata beliau menyuruh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli melawan Azmin pada pemilihan parti kerana Azmin didakwa telah menjadi “barua Mahathir”.
Rakaman kedua mengkritik Dr Mahathir kerana melantik diri sendiri sebagai pengerusi syarikat negara Khazanah Nasional.
Rakaman ketiga membangkitkan skandal pertukaran wang asing (forex) pada 90-an di bawah pentadbiran Dr Mahathir ketika pertama kali menjadi perdana menteri.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengecam penyebaran rakaman audio berkenaan dan mengatakan ia hanya untuk mencetuskan kekacauan menjelang pemilihan parti.
“Setelah meneliti klip-klip audio tersebut, saya mendapati terdapat beberapa elemen seperti bunyi sebutan perkataan yang berbeza dari cara sebutan biasa DS Anwar Ibrahim.
“Oleh itu, klip-klip audio itu adalah palsu dan berniat memecahbelahkan serta menanam rasa syak wasangka di kalangan ahli PKR,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa semua ahli parti agar tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah dan sebaran bahan palsu dan mendapatkan pengesahan sebarang maklumat berkaitan pimpinan atau perjalanan pemilihan parti itu.– 2 Ogos, 2018.
Rakaman audio bukan suara Anwar, kata Wan Azizah
Komen