Langganan Utusan diberhentikan sebab hentam kerajaan, kata Dr Mahathir


Yasmin Ramlan

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, hanya langganan akhbar Utusan Malaysia oleh Kementerian Pendidikan dihentikan namun tiada larangan untuk bacaan di luar premis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2018

TIADA apa salahnya Kementerian Pendidikan berhenti melanggan akhbar Utusan Malaysia kerana ia diketahui sering menghentam kerajaan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pihak sekolah dan universiti serta semua agensi di bawah Kementerian Pendidikan hanya diarah memberhentikan langganan ke atas Utusan Malaysia.

Mereka bagaimanapun tidak dihalang membacanya di luar premis berkenaan, kata Dr Mahathir.

“Langganan diberhenti tapi kita tak halang mereka nak baca. (Nak) Baca, bacalah… pasal apa kita nak beli (akhbar) satu ini yang selalu hentam kita,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di perkarangan Parlimen hari ini.

Utusan Malaysia diterbitkan oleh Kumpulan Utusan Melayu Berhad yang dimiliki sebahagian besarnya oleh Umno, yang turut menerbitkan Mingguan Malaysia dan Kosmo!.

“Tapi kalau mereka nak baca di dalam atau di luar sekolah, mereka bebas untuk berbuat demikian.

“Kita tak tangkap. Kita tak larang, tak ada nak koyak, nak bakar… tak ada,” kata Perdana Menteri yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Dr Mahathir diminta mengulas arahan Kementerian Pendidikan kepada semua sekolah, universiti, kolej dan institusi lain di bawah bidang kuasa kementerian itu untuk berhenti melanggan akhbar tersebut.

Arahan dikeluarkan melalui sebuah memo ditandatangani oleh Wan Saiful Wan Jan, Penasihat Khas kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkuat kuasa 18 Julai lepas.

Memo kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Dr Mohd Gazali Abas itu menyebut arahan dibuat atas permintaan Maszlee.

Maszlee semalam bagaimanapun berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu, namun tidak menolak kemungkinan itu langkah jimat cermat kementerian.

Ditanya mengapa hanya Utusan sahaja akhbar pro pembangkang yang diberhentikan langganannya oleh Kementerian Pendidikan, Dr Mahathir menjawab: “Bacalah Utusan, you tahulah.”

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata pihaknya mahu  berjumpa dengan pihak Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan penjelasan mengenai arahan pembatalan langganan akhbar terbitannya.

Beliau juga mengaku pemberhentian langganan itu akan menjejaskan jualan Utusan Malaysia yang kini beredaran sebanyak lebih 112,000 naskhah, mengatasi pesaingnya Berita Harian. Angka itu berdasarkan Laporan Audit Bureau Circulation yang terakhir setakat Disember 2017.– 2 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen