Dr Mahathir yakin Pakatan menang PRK Sg Kandis 


Yasmin Ramlan

Dr Mahathir Mohamad yakin dengan calon Pakatan untuk memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis yang akan berlangsung Sabtu ini.– 2 Ogos, 2018

PENGERUSI Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad yakin PKR mempunyai peluang menang besar pada Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis yang bakal berlangsung 4 Ogos ini.

“Saya rasa kita ada peluang besar (untuk menang). Kita (PH) menang majoriti sebelum ini,” katanya pada pemberita di perkarangan Parlimen hari ini.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional Lokman Noor Adam dan calon bebas K. Murthy.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada Pilihan Raya Umum 14, Shuhaimi menang kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi, menewaskan calon BN Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Pilihan raya itu juga merupakan pilihan raya kecil pertama yang diadakan selepas PRU14. – 2 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen