KEMENTERIAN Kewangan menuntut ex-gratia RM2.5 juta daripada Arul Kanda Kandasamy yang diterimanya ketika memegang jawatan sebagai Presiden 1Malaysia Development Berhad.
Menterinya Lim Guan Eng berkata, jumlah tersebut dibayar kepadanya sebagai bayaran awal tanpa kelulusan kerajaan.
“Kita tidak luluskan pembayaran RM2.5 juta dan tindakan mahkamah telah diambil untuk mendapatkan balik dan kita juga mengkaji tindakan lain supaya apa-apa keputusan yang telah dibuat dan merugikan 1MDB boleh tuntut balik daripada Arul Kanda,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Semalam, di Dewan Rakyat Lim mendedahkan nilai gaji RM5 juta itu adalah bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun lalu.
Bagaimanapun Arul hanya dibayar setakat RM2.5 juta dan bakinya sepatutnya dijelaskan selepas 30 Jun 2018.
Lim turut mendesak bekas perdana menteri Najib Razak yang juga merupakan bekas menteri kewangan menjelaskan sama ada Arul mendapat RM10 juta setahun sebelum beliau menjadi presiden 1MDB.
Ini kerana kata Lim, pihaknya tidak mempunyai rekod bahawa Arul menerima bayaran dengan jumlah tersebut.
Ahli Parlimen Bagan itu turut mempersoalkan adakah Najib berbohong lagi agar dapat mempertahankan gaji tinggi yang diberikan kepada Arul.
Ini berikutan kenyataan Najib semalam yang mendedahkan ganjaran gaji yang diterima Arul sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif 1MDB ketika berkhidmat di sebuah bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) lebih lumayan berbanding pendapatannya dalam syarikat pelaburan strategik negara itu.
Najib yang juga ahli Parlimen Pekan turut mengakui Arul sanggup melepaskan gajinya yang besar ketika menyertai 1MDB.
“Di sini saya sekali lagi mempersoalkan kredibiliti dan integriti bekas perdana menteri memberikan alasan yang tidak masuk akal langsung.
“Sekiranya beliau nak cakap angka dan fakta, tunjukkan bukti sebelum beliau menjadi presiden 1MDB beliau dibayar RM10 juta setahun atau RM5 juta untuk enam bulan seperti mana yang saya nyatakan di sini,” kata Lim. – 2 Ogos, 2018
Komen