Tindakan tegas terhadap anggota gagal banteras judi haram, kata KPN


Alfian Z.M. Tahir

Tindakan tegas akan dikenakan terhadap anggota polis yang didapati gagal membanteras pusat judi haram, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2018.

TINDAKAN tegas akan dikenakan terhadap anggota polis yang didapati gagal membanteras pusat judi haram, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Fuzi berkata demikian susulan tindakan diambil pihaknya terhadap Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad yang ditukar jabatan selepas gagal menangani kegiatan judi haram di daerah itu. 

“Saya sudah mengarahkan semua anggota saya daripada pangkat pengarah hingga ketua polis negeri dan ketua polis daerah untuk memandang aktiviti judi haram sebagai isu serius.”

“Jika anda tidak patuh, saya akan ambil tindakan tegas. Jika anda gagal untuk tanganinya maka anda perlu berdepan akibatnya,” katanya.

Tambah Fuzi, beberapa pegawai lain dari balai polis daerah tersebut turut ditukarkan.

“Saya harap ini akan menjadi pengajaran kepada anggota yang lain,” katanya pada sidang media, hari ini.

Fuzi memaklumkan beliau akan mengadakan mesyuarat secara tertutup dengan 145 ketua polis daerah minggu hadapan bagi membincangkan mengenai isu tersebut.

Polis Negara Komunikasi Korporat PDRM, Asmawati Ahmad menggumumkan minggu lalu pertukaran membabitkan Ali.

Arahan itu dipercayai ada kaitan dengan operasi membanteras judi haram yang dijalankan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor dan Wilayah Persekutuan di Bandar Baru Rawang pada 27 Julai.

Operasi yang diketuai Mohamad Fuzi itu menahan 113 orang, melalui hasil serbuan di 10 premis perjudian haram di kawasan itu.– 2 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen