Putrajaya mahu jadikan Sabah, Sarawak jelapang padi baharu


Zaim Ibrahim

Menteri Pertanian dan Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata Sabah dan Sarawak berpotensi menjadi pengeluar padi negara yang berskala besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2018.

PUTRAJAYA mahu menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai jelapang baru padi negara untuk mengurangkan import makanan yang kosnya semakin meningkat dari tahun ke tahun, kata Menteri Pertanian dan Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata Sabah dan Sarawak yang mempunyai tanah yang luas boleh jadi negeri pengeluar utama padi Malaysia, sementara kawasan penanaman padi di Semenanjung Malaysia dipertingkatkan lebih moden.

“Ini langkah ke hadapan kita. Walaupun ia melibatkan proses jangka masa sederhana dan panjang tetapi perbincangan (termasuk dengan kerajaan negeri) perlu bermula hari ini.

“Kita juga akan menumpukan pembinaan modal insan dalam kalangan petani dan pesawah padi supaya bersikap lebih profesional,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama media di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Salahuddin, dengan persetujuan kerajaan Sabah dan Sarawak, dua negeri di Borneo itu berpotensi untuk mengeluarkan padi negara dengan skala besar.

Dalam pada itu, kerajaan turut menggalakkan golongan muda untuk menceburi bidang pertanian semaksima mungkin, kata Salahuddin.

“Program Agro Siswa adalah lebih maju dan kompetitif kerana pemainnya adalah golongan siswa yang mempunyai kekuatan dan berpengetahuan,” jelas beliau lagi. – 2 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen