NAIB Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyeru parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk membuktikan bahawa mereka boleh meletakkan calon pilihan pengundi.
Timbalan perdana menteri itu berkata seruannya adalah demi menjamin kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang meskipun bertanding di kawasan kubu kuat DAP.
“Ini peluang terbaik untuk mereka buktikan bahawa mereka boleh menang di kawasan undi yang bukan majoriti Melayu,” katanya ketika ucapan perasmian Persidangan Umno Bahagian Bukit Bintang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Beliau juga menyenaraikan kawasan kubu kuat DAP yang diakuinya sukar untuk ditawan kembali BN antaranya Bukit Bintang, Segambut dan Seputeh.
Sebagai contoh, katanya, kawasan kerusi Parlimen Seputeh jika diletakkan Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menentang Teresa Kok ia tetap akan dimenangi wakil rakyat DAP itu.
“Tengku Adnan, kita ambil contoh seperti di Seputeh, letaklah Ku Nan di Seputeh, memang yang akan menang Teresa Kok juga. Tapi jika ia kekal di Seputeh, memang tidak ada masa hadapan.
“Tetapi Ku Nan sekarang menteri Wilayah Persekutuan kerana ada tempat untuk beliau kerana ketokohan dia.”
Dalam PRU 13, BN yang diwakili parti MCA Wong Siaw Ting tewas kepada wakil DAP, Teresa Kok yang meraih undi majoriti sebanyak 61,500.
Sementara itu semasa merasmikan Persidangan Umno Bahagian Setiawangsa, Zahid juga berkata tidak melihat BN dapat menawan semula kerusi Parlimen Bukit Bintang.
Kerana itu, beliau menolak dakwaan yang Umno merupakan parti perkauman kerana sanggup berkorban dengan memberi kerusi kepada parti komponen BN.
“Kita lihat di Selangor berapa (jumlah) kemenangan DUN, semua kerusi Umno yang menang (tetapi) rakan kita dalam BN masih perlu kuota untuk calon mereka bertanding.
“Kita beri kuasa kepada mereka tapi tiada satu kerusi dimenangi mereka. Kita masih bertimbang rasa sebab kita ikhlas. Kita tidak berjuang atas rasa berbaur perkauman. Kita mahu kongsi rasa.” – 23 Julai, 2017.
Komen